suria

Seharian tidur, DJ Lin bimbang kesihatan ibu semakin merosot... Bakal terima anugerah ke-11 sebagai penyampai radio esok

DJ Lin berkongsi keadaan ibunya yang kini sedang dirawat di hospital.

PENYAMPAI radio Suria FM iaitu DJ Lin berkongsi berita sedih ibunya iaitu Puteh Jantan, 79, terlantar dan menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor sejak 10 hari lalu.

DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid memberitahu ibunya dijangkiti Covid-19 dan mengalami komplikasi pada bahagian buah pinggang.

ARTIKEL BERKAITAN: Melampau! DJ Lin berang dikatakan sudah meninggal dunia, bimbang keadaan kesihatan ibu jika baca berita palsu

"Ketika dihantar ke hospital ibu saya disahkan positif Covid-19. Tapak dialisis di lengan kiri rosak dan tidak boleh digunakan lagi, manakala tapak baharu masih belum boleh digunakan kerana tekanan darah terlalu rendah.

"Doktor maklumkan tidak mahu mengambil risiko dan rawatan dialisis terpaksa dilakukan melalui bahagian paha. Ibu memang ada penyakit buah pinggang sejak lima tahun lalu," katanya kepada mStar.

DJ Lin sebelum ini berkongsi satu video di laman Instagram miliknya tentang keadaan ibu yang tidur seharian pada Ahad akibat terlalu lemah.

Doktor maklumkan tidak mahu mengambil risiko dan rawatan dialisi terpaksa dilakukan melalui bahagian paha

DJ LIN

PENYAMPAI RADIO

Doktor turut memaklumkan sel darah merah pada ibunya berkurangan dan berkemungkinan terdapat pendarahan dalam perut.

"Semalam (Ahad) ibu saya tidur bermula tengah hari sehinggalah pagi ini (Isnin). Dia tidak makan dan minum. Keadaannya sangat lemah.

"Bacaan sel darah merah pula tinggal lima peratus sahaja dan mungkin berlaku pendarahan dalam perut. Doktor akan menjalankan beberapa ujian lain untuk kepastian.

dj lin 1

DJ Lin bersama ibu dan dua orang anaknya.

"Bagaimanapun pagi ini keadaan ibu nampak segar. Saya yakin itu adalah keajaiban doa-doa peminat selepas saya kongsi video di media sosial," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, DJ Lin memaklumkan dia bakal menerima anugerah Penyampai Radio Paling Dipercayai sempena Reader's Digest Brand's Awards yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Selasa.

Bersyukur masih diberi kepercayaan oleh peminat, DJ Lin berkata ini merupakan satu penghargaan cukup bermakna buatnya sepanjang berkecimpung dalam dunia radio.

"Dalam kesedihan, saya akan pulang juga ke Kuala Lumpur untuk acara tersebut. Syukur ini adalah kepercayaan peminat.

"Anugerah ini adalah yang ke-11 sepanjang kerjaya dan kedua bagi acara sama," jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

DJ Lin, Suria FM

Artikel Lain