SELEPAS dua tahun tidak dapat diadakan ekoran pandemik Covid-19, stesen radio Suria FM kembali memulakan siri jelajah mereka buat kali ketiga. Bagi edisi terbaharu ini, Siri Jelajah Suria kembali dengan sentuhan berbeza dengan kemunculan pentas 'Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak ELL' bagi mengembalikan nostalgia lagu-lagu dari zaman era 90-an. Pengurus Besar Suria, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin berkata, siri jelajah itu akan diadakan di empat lokasi bermula 6 Ogos ini di Kuantan City Mall, Kuantan Pahang, Aman Central Alor Setar, Kedah (13 Ogos), Paradigm Mall, Johor Bahru (20 Ogos) dan IOI Mall Putrajaya (27 Ogos). DJ Lin memberitahu pelbagai hadiah menarik ditawarkan pada pengunjung pada siri jelajah itu nanti. "Tema siri jelajah ini sejajar dengan konsep radio Suria FM yang sentiasa memainkan lagu-lagu hit 90-an selain bertujuan mengembalikan nostalgia lagu yang pernah menjadi fenomena," katanya. Dalam pada itu, DJ Lin berkata, terdapat pelbagai tarikan menarik menanti pengunjung termasuk sesi cabutan bertuah yang menawarkan hadiah istimewa seperti empat buah motosikal, empat buah basikal lipat, barangan elektrik, pakej percutian yang secara keseluruhannya bernilai RM100,000. Pengunjung berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik itu dengan membuat pembelian barangan eksklusif Suria seperti Combo Sejati, Combo Jalan Pulang, Combo Baldu Biru dan banyak lagi dengan harga promosi di Kedai Suria yang dibuka pada siri jelajah. Paling penting kata DJ Lin, barisan artis yang bakal mewarnai siri Jelajah Suria 90 adalah seperti Ziana Zain, Ella, Dayang Nurfaizah, Zamani Slam, Amir Uk’s, Alim Kris, Liza Hanim, Amelina, Muss (Mus May), Safura, Hatta Junction dan Kumpulan Boboy. Turut serta Poey Stings, Renggo (Arrow), Rahmad Mega, Man Bai, Wan (Lestary), Siti Nordiana, Haqiem Rusli, Amir Masdi, Nuha Bahrin, Naufal Azrin, Ara Johari, Afieq Shazwan, Dolla, Tajul, Wany Hasrita, Yonnyboii, Insomniacks, Floor 88, Nabila Razali, Fieya Julia dan Iman Troye. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI