suria

Tidak cari publisti murahan, kekal misteri antara cara Flop Poppy kekal 30 tahun

Masih ada peminat yang mahukan Flop Poppy membuat konsert dan tampil dengan lagu baharu.

LEBIH 30 tahun bertahan dalam industri seni, nama kumpulan Flop Poppy masih lagi antara menjadi sebutan ramai meskipun hari ini semakin ramai band baharu turut sama berkongsi arena memperjuangkan karya mereka.

Mengekalkan nama bersih sebagai anak seni antara cara kumpulan ini untuk kekal relevan dan dalam masa mereka juga tidak mahu mencari publisiti murahan dengan kontroversi buruk kerana itu boleh menjatuhkan reputasi dalam kerjaya.

Bercakap tentang perjalanan mereka, kata Andy selaku vokalis, tidak semua kisah artis perlu dikongsi kepada umum dan ada perkara yang harus disimpan supaya ia kekal misteri.

flop poppy 3

Andy kongsi rahsia Flop Poppy kekal bertahan.

“Sepanjang berada dalam industri kami hanya fikirkan kerja dan tidak ada masa untuk lakukan perkara merepek seperti kontroversi semata-mata mahu publisiti murahan. Kalau namanya pemuzik, lebih baik fokus kepada bidang ini sahaja.

“Kerja juga sebagai satu ibadah, jadi janganlah songsangkan ibadah yang kita lakukan ini.

“Kami banyak belajar dari artis-artis lama untuk sentiasa kekal misteri. Kita tahu dalam industri ini apa sahaja yang kita lakukan akan jadi sensasi, namun ada perkara yang perlu disimpan supaya orang sentiasa tertanya-tanya,” katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Berpecah dua kumpulan tapi guna nama sama, Din dakwa mereka Search sebenar... Vokalis baharu pula bimbang peminat tak terima

Flop Poppy mula ditubuhkan sekitar 1989 sebagai kumpulan underground dan tampil dengan album pertama berjudul The Circle of Friends pada 1991.

Selain Andy kumpulan ini dianggotai oleh Mijie selaku pemain gitar, Megat (gitar), Wandy (bes) dan Bakri (dram).

Sementara itu Andi juga sedar perkembangan semasa sekarang ini yang lebih terdedah akibat media sosial yang memudahkan orang ramai bercakap apa sahaja.

Kerja juga sebagai satu ibadah, jadi janganlah songsangkan ibadah yang kita lakukan ini

ANDY

FLOP POPPY

Akui terganggu apabila menerima kata-kata yang tidak elok, Andi bagaimanapun tidak mahu ambil pusing hal tersebut dan turut menasihati agar netizen lebih fokus kepada bidang kerja mereka.

“Ada ketika memanglah terganggu dengan perkembangan media sosial sekarang ini. Namun kalau dilayan, kita pula akan jadi seperti mereka. jadi lebih baik hanya buat kerja sendiri, kalau pakar dalam bidang muzik kongsikan tentang ilmu yang ada.

Keyboard warrior ini akan tulis apa sahaja dan suka mengacau. Kalau nak dengar kata-kata mereka memang susah sebab apa yang dilalui oleh setiap orang adalah berbeza,” jelasnya.

flop poppy 2

Flop Poppy ada kelompok peminat sendiri.

Flop Poppy bakal mengadakan konsert mereka di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 6 Ogos ini dan ia merupakan lokasi pertama persembahan jelajah Masih Tour Flop Poppy.

Atas permintaan ramai peminat, Andi berharap konsert ini dapat mengembalikan nostalgia mereka yang selama ini telah banyak menyokong perjalanan seni Flop Poppy.

“Ramai peminat yang membesar dengan lagu-lagu kami. Jadi dengan konsert ini kami harap dapat mengembalikan nostalgia mereka. Konsert ini juga diadakan atas permintaan ramai.

“Tahun ini kami fokus dahulu untuk selesaikan sesi jelajah dan akan perancangan lagu baharu akan dibuat tahun hadapan,” jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain