suria

Usia setengah abad bukan penghalang Ziana dan Anuar Zain buktikan masih berbisa... bakal ke Singapura bawa magik sama

Anuar dan Ziana memberikan persembahan bertenaga.

PADU, mantap dan bertenaga. Begitulah gambaran persembahan nyanyian penyanyi bertaraf kelas A, Anuar Zain dan Ziana Zain dalam konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 pada Sabtu.

Gandingan adik beradik itu menghiburkan dengan mempersembahkan lebih 20 buah lagu popular masing-masing.

Persembahan yang berlangsung di Plenary Hall, KLCC dimulakan dengan paduan suara menerusi lagu Sangkar Cinta dan Bila Resah.

Kemudian peminat terus dibuai dengan lagu-lagu hit Ziana, 54, dan Anuar, 52, antaranya Puncak Kasih, Terlerai Kasih, Ketulusan Hati, Mungkin, Sesuci Cintamu, Menadah Gerimis dan Anggapanmu.

Tentu sahaja peminat mengetahui kelunakan suara Ziana dan Anuar dalam menyanyikan lagu pada nada tinggi.

Mengakui perkara tersebut bukan satu hal mudah apatah lagi kedua-duanya sudah menjangkau usia setengah abad.

ARTIKEL BERKAITAN: Amir Masdi lega ‘Sekuntum Mawar Merah’ versinya dapat persetujuan Ella

ARTIKEL BERKAITAN: Nasib baik tak tergolek... Tindakan pantas penari jadi hero selamatkan Aina Abdul

Kata Ziana, penjagaan kesihatan amat dititikberatkan bagi mengekalkan stamina ketika berada di atas pentas.

"Saya banyak lakukan aktiviti fizikal seperti berjalan kaki sekitar enam kilometer. Syukur sekarang saya sudah kurus dan tahap kesihatan juga sudah semakin baik.

"Apa yang saya lakukan itu untuk tujuan kesihatan (pembedahan Bariatrik). Syukur sekarang saya dapat mengawal pernafasan dengan baik dan mampu menyanyikan lagu nada tinggi," terangnya.

Mengulas mengenai pemilihan lagu, Ziana memberitahu, keputusan dibuat berdasarkan perbincangan antara kedua-dua belah pihak termasuk mempertimbangkan permintaan daripada peminat.

Emosi yang Anuar sudah berikan dalam Sedetik Lebih agak sukar untuk saya nyanyikan kerana pada saya dia penyanyi yang hebat.

ZIANA ZAIN

PENYANYI

"Masa persembahan agak terhad memandangkan kedua-duanya membuat persembahan. Bagi persembahan ini kami ikut kehendak peminat.

"Sekiranya ada persembahan akan datang mungkin kami akan mempertimbangkan 50 peratus lagu permintaan 50 peratus pilihan kami," ujarnya.

Dalam pada itu, kedua-duanya saling mengakui kesukaran untuk membawakan lagu antara satu sama lain.

"Emosi yang Anuar sudah berikan dalam Sedetik Lebih agak sukar untuk saya nyanyikan kerana pada saya dia penyanyi yang hebat," kata Ziana.

Bagi Anuar, lagu nyanyian kakaknya itu turut memberi cabaran besar buatnya.

"Lagu seperti Lembah Asmara, Di Akhir Garisan dan Sangkar Cinta agak sukar. Jika lagu sendiri sudah tentu saya dapat nyanyikan memandangkan bertahun-tahun mempersembahkannya.

"Tetapi ini agak sukar jadi saya perlu mendengar dengan penuh teliti dan berusaha memberikan persembahan terbaik," jelasnya.

Pada masa sama, Anuar dan Ziana berterima kasih kepada sokongan peminat yang tidak henti menjadi tulang belakang kerjaya mereka.

Setelah selesai persembahan di Malaysia, Anuar dan Ziana akan sekali lagi muncul membuat persembahan duo sama di Singapura pada 24 September depan.

Acara berlangsung sekitar 2 jam 30 minit bermula pukul 9 malam di hadapan hampir 3,000 penonton.

Beberapa rakan artis turut hadir memberi sokongan antaranya Rozita Che Wan, Awal Ashaari, Noryn Aziz, Ernie Zakri dan Syamel.

Kedua orang ibu bapa Anuar dan Ziana turut hadir menyaksikan persembahan bersama beberapa ahli keluarga lain.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain