suria

Dah bising di IG tagih bayaran show, baru nak bayar! Azmi Caliph Busker serik ditipu orang tengah

Kumpulan Caliph Busker kena 'sidai' dengan orang tengah yang menguruskan persembahan mereka.

PENYANYI Azmi Saat kecewa apabila orang tengah yang menguruskan persembahan kumpulan Caliph Busker bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha 2022) Ogos lalu melengahkan pembayaran.

Meskipun sudah menerima wang tersebut Rabu lalu, Azmi berkata, pembayaran dibuat selepas dia bertindak bersuara mengenai isu berkenaan di media sosial.

Azmi memberitahu dia hilang sabar dengan tindakan individu berkenaan kerana ia bukan kali pertama perkara seumpama berlaku kepada Caliph Busker.

"Individu berkenaan sering memberikan tawaran persembahan kepada kumpulan busker seperti kami. Sudah banyak kali dia buat perkara sama dengan pelbagai alasan.

Azmi sengaja dedahkan sikap orang tengah yang lambat buat bayaran.

Azmi mendedahkan masih tidak mendapat bayaran di Instagram.

"Sebenarnya kami sudah serik mahu bekerjasama dengannya tetapi untuk program Maha 2022 baru-baru ini, pihak penganjur memang mahukan Caliph Busker dan dia yang menghubungi kami untuk buat persembahan," katanya kepada mStar.

Terdahulu, Azmi berkongsi rasa tidak puas hati terhadap pihak berkenaan di Instagram miliknya sebagai peringatan kepada orang tengah terbabit selepas gagal dihubungi.

ARTIKEL BERKAITAN: Bimbang emosi isteri terganggu, Azmi Saat takut nak tanya soal anak... Akui masih rasa kehilangan

ARTIKEL BERKAITAN: Fify Azmi putih mata, dakwa PA kebas duit RM15,000

Dalam satu hantaran di Instagram Story, Azmi mendedahkan pihak penganjur sudah membuat pemindahan wang kepada individu berkenaan namun bahagian Caliph Busker tidak diagihkan.

"Sudah sebulan program tersebut berlalu dan kami masih belum terima sebarang bayaran. Saya juga menghubungi penganjut dan mereka maklumkan duit sudah dimasukkan seminggu lalu.

"Jadi saya sengaja kongsikan di media sosial supaya pihak berkenaan sedar, syukur Alhamdulillah semua sudah selesai," jelasnya.

Pengajarannya jangan terlalu mudah percaya dengan mana-mana pihak. Kalau sekali mungkin boleh diabaikan tetapi jika berulang rasanya pihak terbabit ada masalah

AZMI SAAT

Sementara itu, Azmi memberitahu insiden menimpa mereka itu dijadikan pengajaran agar lebih berhati-hati terima tawaran kerja daripada orang tengah yang tidak amanah dan bertanggungjawab.

Bagi Azmi, walaupun bayaran yang diterima tidaklah terlalu tinggi namun mana-mana pihak sekalipun seharusnya lebih bertanggungjawab apabila melibatkan soal wang dan hak orang lain.

"Pengajarannya jangan terlalu mudah percaya dengan mana-mana pihak. Kalau sekali mungkin boleh diabaikan tetapi jika berulang rasanya pihak terbabit ada masalah.

"Bukanlah wang ringgit jadi ukuran tetapi sikap tanggungjawab dan amanah perlu diutamakan. Jangan menyusahkan orang lain," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain