suria

Jadi anak PM bukan tiket mudah buat Dafi, tak terlintas guna keistimewaan bapa

Dafi teruja pertama kali berlakon sebagai anggota tentera.

STATUS sebagai anak kepada Perdana Menteri Malaysia bukan tiket mudah untuk penyanyi Dafi terlibat dalam filem patriotik berjudul Malbatt Misi Bakara yang dijangka ditayangkan bersempena bulan Kemerdekaan tahun hadapan.

Dafi atau Gadaffi Ismail Sabri, 34, berkata, dia tidak pernah terlintas untuk menggunakan keistimewaan bapanya iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meskipun ada beranggapan begitu.

"Saya tidak rasa ada sebarang keistimewaan tetapi jika ada yang mahu beri peluang atau layanan seumpama tanpa diminta, saya terima sahaja.

"Saya harap tiada orang salah anggap kerana saya tidak pernah meminta. Kalau orang dah nak bagi, takkan nak tolak," katanya kepada mStar.

dafi 2

Dafi tidak pernah ambil kesempatan guna jawatan bapa untuk dapatkan keistimewaan.

Dafi ditemui pada sidang media dan majlis pelancaran filem Malbatt Misi Bakara yang diadakan pada Sabtu.

Filem arahan Adrian Teh itu bakal menyaksikan Dafi memegang watak sebagai salah seorang tentera yang terlibat dalam misi Malbatt ketika peperangan di Somalia pada 1993.

ARTIKEL BERKAITAN: Kos RM20 juta, ‘Malbatt Misi Bakara’ jadi filem termahal Malaysia

ARTIKEL BERKAITAN: Dafi tak minat main politik, jadi mangsa netizen lepas geram... Tapi ada juga yang ‘himpit’ sebab anak PM

Dalam pada itu, Dafi turut menyangkal dakwaan penglibatan dalam filem berkenaan akan memberi jalan mudah bagi tujuan promosi atau mendapatkan sebarang dana.

Sebaliknya kata Dafi, Adrian sebagai pengarah mempunyai reputasi cukup baik selepas mengarahkan filem Paskal The Movie yang mendapat sambutan luar biasa penonton.

"Adrian sendiri mempunyai reputasi cemerlang sebagai pembikin filem. Dia sendiri sudah ada hubungan baik dengan anggota tentera. Bukan sebab saya filem ini diterbitkan," jelasnya.

Saya harap tiada orang yang salah anggap kerana saya tidak pernah meminta.

DAFI

PENYANYI/PELAKON

Malah kata Dafi, bapanya juga tidak mengetahui dia terlibat dalam filem ini sehinggalah menerima tawaran.

"Bapa tiada masalah... Kami memang tidak campur urusan kerja masing-masing," ujarnya.

Bercakap mengenai filem tersebut, Dafi tidak menyangka diberi peranan sebagai anggota tentera selepas 15 tahun penglibatannya dalam industri seni.

Teruja dapat terlibat dalam naskhah tersebut, Dafi tidak menafikan mula berasa tertekan apabila bakal bergandingan dengan nama besar seperti Shahiezy Sam, Bront Palarae, Hairul Azreen, Zahiril Adzim dan Adlin Aman Ramli.

bakara 1

Barisan pelakon Malbatt Misi Bakara bersama pengarah Adrian Teh.

"Jujurnya lama saya fikir sebelum bersetuju kerana bimbang akan merosakkan filem ini.

"Saya anggap ini satu peluang berbeza dalam karier saya apatah lagi sudah lama tidak muncul dalam mana-mana filem atau drama," katanya.

Malbatt Misi Bakara merupakan terbitan bersama enam syarikat iaitu bersama enam syarikat penerbitan gergasi iaitu Berjaya Pictures, Act 2 Pictures, Fast Bikes, Aurum Investments Limited, Golden Screen Cinemas dan Astro Shaw.

Ia memaparkan kisah benar dan pernah menjadi antara sejarah pencapaian terbaik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain