suria

Nenek mati dibunuh... pelakon Farhan Asri mohon bantuan peminat kesan penjenayah

Farhan Asri berharap dapat menuntut keadilan atas kematian neneknya.

WARGA emas dikenali sebagai Datin Noraida Nordin yang terbunuh dalam kejadian pergelutan dan pecah masuk di Taman Paroi Jaya, Seremban pada 23 September lalu ialah nenek kepada pelakon Farhan Asri.

Farhan atau Muhamad Farhan Mohd Asri, 25, berkata, dia dan keluarganya masih trauma dengan insiden berkenaan apatah lagi sehingga kini suspek masih belum dapat ditangkap.

"Sehingga kini suspek yang mempunyai pertalian keluarga masih belum dapat ditangkap.

"Tetapi kami belum berputus harap untuk menuntut keadilan kematian nenek apatah lagi saya melihat sendiri keadaannya selepas kejadian hitam itu berlaku," katanya kepada mStar.

paan2

Gambar kenangan bersama arwah nenek dan atuk.

Mengenai peristiwa itu, Farhan menerusi hantaran di Instagram memohon bantuan orang ramai mengesan suspek yang dikenali sebagai Mohd Faizul Mohamad Ali Kamil, 45, beralamat di Kampung Berkat Chembong, Rembau untuk tampil membantu siasatan kes terbabit.

Hasil siasatan awal polis di tempat kejadian mendapati terdapat kesan kecederaan pada anggota badan mangsa yang berusia 75 tahun dan beberapa barangan peribadi miliknya termasuk barang kemas lesap.

Dalam pada itu, Farhan memberitahu ahli keluarga menyedari sesuatu tidak kena berlaku kepada neneknya apabila warga emas itu gagal dihubungi pada petang hari kejadian.

ARTIKEL BERKAITAN: Digandingkan sebagai adik-beradik dalam Cukup Derita Itu, Farhan Asri malu dipuji wajah seiras Hisyam Hamid

ARTIKEL BERKAITAN: Penganjur silap letak gambar, calon Top 20 Artis Baharu Lelaki Popular Farhan Asri tak kecil hati - “Hanya masalah teknikal, saya okey saja”

Kata Farhan, kebiasaannya mereka akan menelefon atau pergi ke rumah neneknya setiap hari untuk bertanya keadaan namun pada hari tersebut mereka tidak ke sana.

"Selepas Asar kami ada telefon nenek tetapi tidak berjawab. Kami mengandaikan sesuatu berlaku sama ada nenek jatuh bilik air atau tangga.

"Apatah lagi datuk juga tidak berapa sihat kerana mengalami masalah katarak tetapi masih boleh mendengar dengan baik dan peka terhadap keadaan sekeliling," katanya.

Saya tidak boleh berdiam diri dan berharap suspek ditemui segera bagi membantu siasatan.

FARHAN ASRI

PELAKON

Cerita Farhan lagi, sekitar pukul 7 petang, datuknya, Datuk Madzlan Ahmad, 82, berasa tidak sedap hati kerana isterinya itu tidak masuk ke bilik untuk melakukan solat Maghrib namun apabila dipanggil warga emas itu tidak menyahut.

"Datuk memanggil nenek beberapa kali tetapi tidak disahut. Atuk keluar dari bilik dan menjerit meminta tolong daripada jiran.

"Ketika jiran masuk ke rumah, mereka menemui nenek sudah terbaring di atas sofa," jelasnya.

Sementara itu, Farhan memberitahu sebelum ini sudah beberapa kali suspek datang ke rumah neneknya untuk meminjam wang namun tidak dapat memberi dalam jumlah yang banyak kerana arwah ingin menggunakan duit untuk mengadakan kenduri.

paan

Pelakon ini sedang berusaha untuk mencari suspek.

"Sebelum kejadian pembunuhan berlaku, ada beberapa kali suspek datang ke rumah untuk meminjam duit.

"Kali kedua dia datang datuk hanya memberi sedikit wang. Terakhir, memang dia datang membawa makanan dan ketika itulah nenek saya telah mati dibunuh," jelasnya.

Sehingga kini, suspek tidak dapat dikesan dan kali terakhir isterinya dihubungi memaklumkan suspek ada pulang ke rumah mencuci baju sebelum keluar semula dengan berpakaian putih.

"Saya tidak boleh berdiam diri dan berharap suspek ditemui segera bagi membantu siasatan," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain