PENYANYI Ramlah Ram mengimbau kembali kenangan terpaksa memotong rambutnya dan meletakkan ke dalam kotak kerana terlalu sayang. Ramlah, 57, berkata sewaktu awal kemunculan sebagai penyanyi kira-kira lebih tiga dekad yang lalu, mereka tidak mempunyai jurumekap dan perlu bersiap sendiri sebelum menghadiri acara atau program hiburan. "Dulu mana kita ada mekap artis, jadi semua kena belajar mekap dan bersiap sendiri. "Rambut saya pula panjang paras pinggang, disebabkan terlalu lama mengambil masa untuk bersiap, saya mengambil keputusan untuk memotong rambut pendek," katanya kepada mStar. Ramlah berkongsi kenangan itu semasa ditemui di Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Best Products ke-26 yang diadakan di KL Eco City, Kuala Lumpur pada Isnin. Ramlah pernah berkorban memotong rambut panjangnya demi kerjaya nyanyian. ARTIKEL BERKAITAN: Ramlah Ram dinasihatkan berehat, peti suara bengkak akibat gastrik ARTIKEL BERKAITAN: Kemunculan ramai penyanyi baharu, Ramlah Ram tak pernah rasa bersaing... Syukur rezeki nyanyian tidak putus Gara-gara terlalu sayang rambutnya itu, penyanyi lagu Diam Diam Jatuh Cinta ini menyimpan di dalam kotak kasut dan membawanya pulang ke kampung. "Saya meminta kakak untuk menjaga keratan rambut tersebut, namun lain pula jadinya apabila tidak lama kemudian kakak memberitahu kotak simpanan rambut itu telah dilarikan tikus," jelasnya sambil tertawa. Dalam pada itu, Ramlah turut menyingkap kenangannya bersama Allahyarham Datuk Sudirman Arshad yang pernah meminta dia agar tidak memotong rambut. Sehingga kini Ramlah masih lagi aktif dalam bidang nyanyian. Cerita Ramlah, ketika itu dia menyertai sebuah program di RTM dan duduk sendirian kerana berasa rendah diri dengan kehadiran bintang-bintang ternama. Namun, Sudirman menghampiri dirinya dan memberikan kata-kata semangat termasuklah memuji kecantikan rambut panjangnya itu. "Sewaktu itu abang Sudirman mengatakan saya juga ada keistimewaan tersendiri kerana memiliki rambut yang panjang. "Dia turut berpesan untuk tidak memotong rambut, tetapi setelah mengetahui saya telah memotong rambut pendek, dia melukis karikatur yang tertulis 'Akhirnya tuan puteri potong rambut'. "Itu yang mengingatkan saya kepada Sudirman apabila teringat kembali keputusan untuk memotong rambut pendek," katanya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI