suria

Erma Fatima tak mahu jadi syaitan bertopengkan manusia, ambil tanggungjawab kontroversi melanda ‘Perempuan Itu’

Erma Fatima menyifatkan insiden yang berlaku terhadap drama Perempuan Itu dan pelakon Zul Ariffin sebagai pengajaran.

PENERBIT dan pelakon Erma Fatima menyifatkan kontroversi melanda drama Perempuan Itu sebagai pesanan Tuhan kepada semua pihak.

Erma, 54, berkata, insiden itu sepatutnya dijadikan pengajaran dan bukannya meletakkan hukuman sehingga ada yang sanggup mengeluarkan kata-kata kesat.

"Allah tidak pernah silap. Apa yang berlaku adalah apa yang Allah rancangkan untuk menyampaikan pesanan-Nya kepada kita semua. Terserah bagaimana kita hendak menerima pesanan itu.

"Kepada yang seolah-olah maha mengetahui apa perancangan Allah itu, tak perlulah hendak mengambil alih kerja Tuhan.

293163550_1015889052459541_6631419292825898099_n

Zul mengaku bersalah atas pertuduhan memuat naik kandungan bersifat sumbang dalam media sosial pada 18 Mac lalu.

"Menyumpah sana sini... bermaki-makian, tak cukup itu menghantar mesej peribadi lagi. Instagram saya bukan untuk itu. Saya tiada masa nak layan.

"Namun terima kasih dan anda semua yang gemar memaki hamun itu telah saya maafkan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tiada malaikat atau syaitan”... Erma Fatima tanya Zul Ariffin ‘siapa suruh muat naik video itu?’

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] “Yang lain semua malaikat” - Tanggung akibat sendirian, Zul Ariffin harap rakan artis jadikan pengajaran

Erma berkata demikian menerusi hantaran di Instagram miliknya.

Terdahulu, Erma pernah mempersoalkan kenyataan dibuat pelakon drama berkenaan iaitu Zul Ariffin yang menyifatkan pihak lain yang terbabit sebagai 'malaikat' dan dirinya sahaja sebaliknya.

Erma dalam satu kenyataan memberitahu bukan Zul sahaja yang bersalah dalam hal berkenaan tetapi mempersoalkan tindakannya memuat naik video berkenaan di media sosial.

Namun terima kasih dan anda semua yang gemar memaki hamun itu telah saya maafkan.

ERMA FATIMA

PENERBIT & PELAKON

Sementara itu, Erma berkata, sebagai seorang manusia biasa dia mengakui kelemahan di pihaknya sekaligus mengambil tanggungjawab dengan apa yang sudah berlaku.

Bagaimanapun, Erma turut berharap drama Perempuan Itu nanti dapat menyampaikan pesanan berguna kepada penonton apabila ia ditayangkan kelak.

"Saya bukan malaikat, saya juga tidak mahu jadi syaitan bertopengkan manusia. Cukuplah sekadar menjadi seorang manusia yang menyedari kelemahan dengan rendah hati.

"Sebagai penerbit, saya bertanggungjawab atas semua kelemahan produksi saya dan apa yang terjadi ini adalah pesan daripada Allah khusus buat saya.

118064601_3429135157151250_1470719451123478581_n

Babak menerusi drama Perempuan Itu yang dimuat naik Zul di Instagram miliknya.

"Semoga Perempuan Itu akan menyampaikan apa sesungguhnya pesan dari-Nya. Amin," katanya.

Pada Selasa lalu, Zul atau Zulkifli Ariffin didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di Sepang selepas mengaku bersalah atas tuduhan memuat naik kandungan bersifat sumbang dalam media sosial pada 18 Mac lalu.

Menerusi video berkenaan, Zul memuat naik babak ghairah yang memperlihatkan aktor itu mendukung pelakon Siti Hariesa selain beberapa aksi tidak senonon yang disifatkan sebagai tidak sesuai untuk tontonan masyarakat.

Drama arahan Isma Yusof dan Ain Sharif itu turut dibintangi oleh Mimi Lana, Eman Manan, Iqbal Zulkefli, Erysha Emirates dan Amar Asyraf.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain