suria

Demi pementasan teater ‘Nyonya’, Liza Abdullah kembali sarung kebaya selepas 30 tahun

Liza Abdullah bakal muncul menerusi teater Nyonya.

SELEPAS 30 tahun tidak menyarungkan kebaya, pelakon Liza Abdullah bakal tampil dalam busana itu untuk pementasan teater berjudul Nyonya.

Liza atau Norliza Abdullah, 58, berkata, meskipun berasa berat hati untuk mengenakan pakaian itu pada usianya sekarang namun demi tanggungjawab dia menuruti permintaan jalan cerita teater berkenaan.

"Dalam usia seperti sekarang, kalau boleh nak pakai pakaian longgar sahaja, tetapi disebabkan tanggungjawab saya sarungkan kebaya selepas 30 tahun.

Liza Abdullah pakai baju kebaya semata-mata demi teater Nyonya.

"Siapa datang tengok teater ini nanti dapatlah tengok saya berkebaya," katanya kepada mStar.

Liza berkata demikian ketika ditemui pada sidang media teater berkenaan yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Menang Pelakon Antagonis Terbaik ADS 2021, Liza Abdullah buktikan masih releven selepas 40 tahun dalam industri seni

ARTIKEL BERKAITAN: Meletop dengan watak 'Mak Leha', pernah berduet dengan Ringgo (Arrow) lagu 'Samarenda'... ini 10 fakta tentang Liza Abdullah

Pelakon yang terkenal dengan watak Mak Leha ini juga memberitahu anaknya juga terkejut apabila melihat penampilannya dalam persalinan kebaya.

Ini kerana kata Liza, selama ini anak-anaknya tidak pernah melihat dirinya dalam pakaian tersebut kerana kebiasaannya dia akan memakai pakaian yang longgar.

Kita dalam usia macam ini kalau boleh nak loose je, tapi disebabkan tanggungjawab kita sarungkan kebaya.

LIZA ABDULLAH

PELAKON

"Anak saya pun terkejut kerana tidak pernah nampak saya berpakaian seperti ini apatah lagi melihat saya menari. Selama ini saya berlakon pun kebanyakan pakaian dipakai semuanya loose," ujarnya.

Sementara itu, pengarah teater Nyonya, Dr. Rosminah Tahir berkata, teater itu kali ini menampilkan wajah-wajah baharu bagi menggantikan barisan pelakon utama.

Rosminah memberitahu pementasan kesembilan teater itu sekaligus membuatkan ia bertambah unik apabila lebih banyak menampilkan muzikal berbanding lakonan.

Pementasan teater Nyonya angkat budaya Minangkabau.

Menerusi teater ini juga, Nyonya turut menggabungkan dua budaya Minangkabau Indonesia dan Malaysia.

"Tidak hanya menggabungkan dua budaya itu, Nyonya akan menggunakan loghat Indonesia pada pementasan itu nanti," katanya.

Selain Liza, teater itu menampilkan Vanidah Imran, Ziela Jalil, Deera Amin, Along Eyzendy dan Zera Hariz.

Teater Nyonya bakal dipentaskan di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada 15 dan 16 Oktober ini dengan harga tiket bermula RM30 dan RM50.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain