suria

Jalaluddin Hassan nikahi isteri baharu bukan rela hati, ambil masa 4 tahun untuk jatuh cinta

Jalaluddin Hassan berkongsi kisah detik bersama isteri, Rapidah Abdul Ghani.

PELAKON Datuk Jalaluddin Hassan mendedahkan perkahwinan kedua selepas kematian isterinya pada 2016 bukan atas kehendak diri sebaliknya bagi memenuhi permintaan bapanya, Tan Sri Hassan Azhari.

Jalaluddin berkata, Allahyarham bapanya yang mencarikan jodoh buat dirinya dan memperkenalkan Rapidah Abdul Ghani, 49, sebelum mereka melangsungkan perkahwinan pada 2017.

"Saya membuat keputusan untuk berkahwin kerana bapa saya. Arwah yang mencarikan jodoh selepas kematian isteri enam tahun lalu," katanya kepada mStar ketika diminta mengimbas nostalgia rumah tangganya.

Berkongsi lanjut kisah tersebut, Jalaluddin berkata, disebabkan perkara itu juga dia mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri bersama Rapidah selepas mereka berkahwin.

datuk

Rapidah disifatkan seorang isteri yang ikhlas dan penyabar.

Malah kata pelakon itu, pada awal perkahwinan dia langsung tidak dapat melupakan Allahyarham isterinya dan tidak boleh menerima kehadiran Rapidah dalam hidupnya.

"Saya mengambil masa lebih kurang empat tahun sebelum benar-benar dapat menerima Rapidah dalam hidup saya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jalaluddin Hassan Sifatkan Arwah Isteri Wanita Terbaik

ARTIKEL BERKAITAN: Jalaluddin, Rapidah Mulanya Dihalang Kahwin

"Sebelum ini, setiap kali bayangan arwah isteri datang, saya jadi sukar mendekati isteri yang baru dinikahi. Kalau dia buat silap sedikit pun, saya mudah dingin terhadapnya," kata Jalaluddin.

Bagaimanapun kesabaran Rapidah sepanjang tempoh itu membuatkan dia mula jatuh cinta terhadap wanita itu.

Jalaluddin menyifatkan isterinya itu seorang wanita yang ikhlas menyayanginya selain tetap setia berada di sampingnya pada waktu suka dan duka.

Saya mengambil masa lebih kurang empat tahun sebelum benar-benar dapat menerima Rapidah dalam hidup saya.

DATUK JALALUDDIN HASSAN

PELAKON

"Walaupun saya sudah tinggal lama di kawasan perumahan kami, tetapi jiran-jiran lebih mengenali isteri berbanding diri saya.

"Isteri saya gemar memasak malah kalau dia temani saya ke lokasi penggambaran, ramai yang selesa dengan dia kerana sering dijamu dengan hidangan enak.

"Selain kesabaran dan kesetiaanya, personaliti dia yang mudah mesra dan pandai memasak membuatkan saya jatuh cinta kepadanya," ujar beliau.

datuk1

Jalaluddin merupakan antara pelakon veteran yang masih aktif dalam industri hiburan.

Untuk rekod, Jalaluddin berkahwin dengan Rapidah pada 12 November 2017 dan sah bergelar suami-isteri dengan sekali lafaz.

Majlis pernikahan itu diadakan di Masjid Bandar Tun Hussien Onn selepas setahun kematian Hashimah Mad Ehsan pada 4 November 2016.

Hashimah meninggal dunia selepas mengalami komplikasi selepas menjalani pembedahan saluran jantung di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain