suria

Tiga kali keluar masuk penjara, Fuad Rahman nekad berubah selepas ibu 81 tahun datang melawat sambil bertongkat

Fuad akui insaf selepas melihat kesusahan ibu datang melawat di penjara.

DETIK melihat ibu tersayang datang melawat ketika berada dalam tahanan penjara membuatkan peserta program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) Fuad Rahman insaf dan nekad meninggalkan dunia gelap yang dilalui sebelum ini.

Fuad atay Mohamed Fuad Abdul Rahman, 43, berkata, kekuatan ibunya yang berusia 81 tahun ketika itu datang dengan berjalan menggunakan tongkat telah menjentik hatinya untuk berubah kerana sedar masanya semakin suntuk untuk bersama insan kesayangannya itu.

"Ibu saya datang melawat dengan bertongkat kerana keadaannya yang sudah tidak berapa kuat berjalan. Apabila saya tatap wajah ibu ketika itu, terus buat saya tersedar. Ketika itulah saya kata, inilah masanya, full stop!

fuad 1

Fuad kini menjalani kehidupan lebih baik.

"Saya berada dekat ‘dalam’ (penjara), takut apa-apa terjadi kepada ibu di luar. Ada juga kawan-kawan tidak sempat melihat ibu bapa yang meninggal dunia disebabkan masih dipenjara,” katanya.

Fuad sebelum ini pernah dijatuhkan hukuman penjara akibat penyalahgunaan dadah sebanyak tiga kali dan mula terjebak dengan bahan terlarang tersebut sejak berusia 18 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Nyanyian Pat Candy ‘flat’ tapi selamat, minggu keempat Gegar Vaganza 9 tiada penyingkiran

ARTIKEL BERKAITAN: Gelanggang GV9 dibuka dengan persembahan bertenaga 13 peserta, senarai lagu minggu kedua buat ramai tak sabar!

Menceritakan detik berada di sebalik tirai besi, Fuad berkata, ia telah mendorongnya untuk memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada Allah.

Ketika itu juga kata penyanyi berasal dari Singapura itu, dia mula menjaga solat selain tekun mendalami ilmu agama menerusi kelas yang diadakan di dalam penjara.

Bila melihat wajah ibu ketika itu terus buat saya tersedar. Ketika itulah saya kata ‘this is the time, full stop’!

FUAD RAHMAN

PENYANYI

"Mereka yang berada dalam penjara tidak semuanya berfikiran negatif dan enggan berubah. Ada yang rajin belajar agama sebab kami ada kelas ilmu ketika menjalani hukuman.

"Saya banyak bergaul dengan mereka dalam kelas agama dan cenderung untuk berubah. Alhamdulillah selepas kali ketiga dalam penjara saya bertemu dengan kawan-kawan yang mahu berubah.

"Saya sentiasa menjaga solat. Walau apa pun masalah yang datang, saya akan ingat Allah. Itu yang membuatkan saya lupa benda-benda lama," ujarnya.

fuad 3

Persembahan Fuad minggu keempat di GV9 menyentuh emosi ramai.

Pada persembahan minggu keempat yang bertemakan kerohanian dan kemanusian, Fuad dilihat tidak dapat menahan air mata ketika menyampaikan lagu berjudul Layang-Layang Terputus Talinya.

Disebabkan emosi dalam diri ketika berada di atas pentas, dia juga dilihat sedikit ‘goyang’ saat awal memulakan persembahan.

Walaupun menunjukkan prestasi baik sepanjang bersaing di pentas GV9, Fuad terpaksa berpuas hati di kedudukan kelapan pada malam Ahad dengan jumlah markah juri 65 peratus.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain