suria

Bakal naik mahkamah November ini... Amelia Henderson tetap tidur lena, hadap dugaan dengan tenang

Amelia bakal ke mahkamah pada November depan.

PELAKON Amelia Henderson tenang bakal ke mahkamah pada sebutan kes membabitkan dakwaan melanggar kontrak drama Sekali Lagi Cinta Kembali terbitan A. Aida Production pada November ini.

Amelia, 26, berkata, perkara itu disifatkan sebagai dugaan dalam kariernya dan menyerahkan perkara itu kepada mahkamah untuk diselesaikan secara berhemah.

"Selagi saya boleh tidur dengan tenang, maksudnya semuanya masih berjalan lancar dan kita kena hadap dengan dugaan yang datang.

"Saya tak dapat memberikan komen lanjut mengenainya kerana ia isu sensitif dan masih dalam proses perundangan. Kami akan ke mahkamah untuk sebutan kes pada 1 dan 2 November ini," katanya kepada mStar.

amelia

Pelakon ini bersikap positif dan enggan memberikan komen lanjut.

Amelia ditemui pada sidang media program Gempak Most Wanted yang diadakan di Astro, Bukit Jalil pada Rabu.

Terdahulu, Amelia dan aktor Idris Khan didakwa melanggar kontrak perjanjian drama berkenaan yang sudah ditandatangani sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Amelia Henderson nafi langgar kontrak drama A. Aida, skrip dan watak berbeza punca tarik diri

ARTIKEL BERKAITAN: Idris Khan tak gentar, sedia jumpa A. Aida di mahkamah... Anggap dakwaan langgar kontrak satu fitnah

Penerbitnya, Datuk A. Aida mengambil tindakan undang-undang terhadap kedua-dua pelakon itu kerana kecewa dengan sikap tidak profesional mereka sehingga menyebabkan pihaknya terpaksa menanggung kerugian.

Dalam pada itu, Amelia enggan mengulas mengenai hubungannya dengan A. Aida yang didakwa tercalar ekoran insiden berkenaan kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan.

Kata Amelia, dia memilih untuk tidak bercakap mengenainya kerana ada banyak hati yang perlu dijaga terutama keluarga dan peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seninya selama ini.

"Saya tidak mahu memberi sebarang komen tentang ini. Dalam setiap yang saya lakukan, saya tidak boleh mengawal tindakan semua pihak.

"Apa yang penting, saya kena ikhlas dan cuba untuk buat yang terbaik untuk penonton, peminat dan keluarga yang sentiasa memberi sokongan," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain