suria

[VIDEO] Hisham Ahmad Tajuddin tak suka keluar rumah, hasrat arwah tonton Gegar Vaganza secara 'live' tak kesampaian

SUASANA pilu mengiringi majlis pengebumian pelakon veteran Allahyarham Hisham Ahmad Tajuddin di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam pada pagi Khamis.

Allahyarham Hisham yang meninggal dunia pada usia 76 tahun selamat disemadikan kira-kira pukul 10.30 pagi.

Terdahulu jenazah dibawa ke Masjid Seksyen 16 Shah Alam untuk dimandi dan disolatkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

photo_6215436659865007092_w

Jenazah tiba di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam kira-kira pukul 10 pagi.

Arwah Hisham menghembuskan nafas terakhir di Wad Kebergantungan Tinggi (HDW), Hospital Shah Alam (HSA) pada pukul 4.30 petang pada Rabu akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.

Hisham yang berada dalam keadaan kritikal sebelum ini menerima rawatan di HSA sejak 29 September lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon Hisham Ahmad Tajuddin meninggal dunia

Dalam pada itu, menantu kepada Allahyarham iaitu Hairudin Samsudin, 26, berkata, Hisham merupakan peminat tegar program Gegar Vaganza dan mengikuti musim terbaharu pertandingan tersebut.

Kata Hairuddin, bapa mertuanya itu pernah menyatakan hasrat untuk menyaksikan program tersebut secara langsung, namun impian itu tidak kesampaian.

553

Hisham memulakan karier sebagai pelakon sejak era 1980-an.

"Ketika kami berbual-bual, arwah ada menyatakan nak menonton Gegar Vaganza secara langsung sebab dia memang minat dengan program berkenaan... tetapi hasratnya itu tidak kesampaian," ujarnya.

Menceritakan lebih lanjut mengenai arwah, anak perempuannya, Aqeela Mohd Hisham, 26, pula memberitahu hisham seorang yang gemar menghabiskan masa di rumah membaca novel kegemaran dan menonton televisyen.

Kata Aqeela, bapanya itu hanya akan keluar rumah sekiranya ada jemputan program melibatkan industri hiburan untuk berjumpa dengan rakan-rakan seperjuangannya.

"Ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir, saya, suami dan ibu ada di sisinya. Alhamdulillah pemergiannya dipermudahkan.

photo_6215436659865007090_w

Kaum keluarga dan sahabat Allahyarham turut hadir memberi penghormatan terakhir.

"Arwah gemar berehat di rumah, aktiviti dia paling suka adalah membaca novel dan menonton televisyen.

"Dia bukan jenis yang suka berjalan atau menghabiskan masa di luar tetapi kalau ada jemputan apa-apa program dia akan hadir kerana ingin bertemu rakan-rakan," ujarnya.

Untuk rekod, Hisham bergiat aktif dalam bidang seni sekitar tahun 1980.

Antara filem dan drama lakonannya adalah Tsu Feh Sofiah, Wira Angkasa, Hanny, Putera, Black Maria, Dalam Hati Ada Cinta, Tanah Kubur dan Tok Ayah.

Artikel Lain