KONFLIK membabitkan Datuk Chef Wan dengan bekas menantu iaitu Shikin Maembong akhirnya berjaya diselesaikan dengan baik apabila kedua-duanya mengadakan pertemuan dalam satu majlis baru-baru ini. Syukur ikatan itu berjaya dipulihkan semula, Shikin atau nama sebenarnya Siti Nur' Ashikin Ismail, 39, berkata kemelut yang berlaku sebelum ini menjadi asbab hubungan mereka kembali erat. "Saya bersyukur kerana hubungan kami semakin baik. Sebagai ayah, saya tahu dia hanya ingin menasihatkan dan saya menerimanya dengan positif. "Semua yang terjadi ini berlaku secara semula jadi. Kalau sudah namanya keluarga, pasti ada perasaan rindu dan sayang," katanya ketika dihubungi mStar pada Selasa. Berkongsi momen pertemuan mereka, Shikin memberitahu sebelum ini dia ada menghubungi Chef Wan untuk berjumpa. Shikin tidak lagi mahu mengingati masa lalu. ARTIKEL BERKAITAN: Gara-gara tegur bekas menantu, Chef Wan dapat surat saman RM1 juta ARTIKEL BERKAITAN: “Satu sen pun tak pakai duit Chef Wan masa kahwin” - Shikin Maembong Impian itu akhirnya menjadi kenyataan apabila dia menerima undangan menghadiri sambutan ulang tahun kelahiran ibu kepada Che Wan iaitu Noraini Abdullah. "Saya gembira melihat anak saya dapat bertemu dengan datuknya dan keluarga yang lain. "Antara saya dan bekas suami juga tidak mempunyai sebarang masalah. Hubungan kami masih baik," ujarnya. Sementara itu, kakak kepada pelakon Emma Maembong ini juga memohon orang ramai mendoakan kebahagiaan keluarga mereka dan perniagaan baharu yang dijalankan. Shikin bersama anaknya, Arianna. Malah dia turut mengucapkan terima kasih kepada bekas suami iaitu Chef Riz atau Mohd Nadzri Redzuwan, 40, turut menyokong perniagaannya yang beroperasi di Desa Pandan, Kuala Lumpur. "Alhamdulillah, sekarang saya hanya memberi fokus kepada perniagaan yang dijalankan. "Perniagaan saya juga turut disokong oleh bekas suami dan adiknya, Serina Redzuwan. InsyaAllah selepas ini saya ingin mengajak bekas bapa mentua untuk datang ke gerai kami," katanya. Terdahulu, menerusi Instagram, Chef Wan atau Redzuawan Ismail, 64, memuat naik hantaran memaklumkan dia dan Shikin mengambil keputusan untuk melupakan persengketaan dan menjalani kehidupan lebih baik selepas ini. Pada Februari lalu, Shikin menfailkan saman sebanyak RM1 juta kepada Chef Wan gara-gara menegurnya mengenai anak. Untuk rekod, Shikin mendirikan rumah tangga bersama Chef Riz pada 5 Disember 2014 dan bercerai pada Jun 2016. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Putri Arianna Natasya yang kini berusia tujuh tahun. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI