suria

Karya baharu kurang dapat sambutan, Naqiu tak tahu mana silap... Sedia ikut trend semasa untuk viral

Naqiu merasakan masih ada kekurangan dalam diri untuk diperbaiki.

KEMBALI aktif selepas bergelar juara program Gegar Vaganza musim keenam (GV6) pada tahun 2019, penyanyi Naqiu mengakui kurang berpuas hati dengan penerimaan peminat terhadap lagu-lagu baharu nyanyiannya itu.

Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin Mohd Najib, 36, berkata karya-karya nyanyiannya itu gagal mendapat sambutan baik dalam kalangan peminat sehingga membuatkan dia sendiri merasa kecewa.

"Jujur saya katakan tidak berpuas hati dengan lagu-lagu terbaru sendiri sejak tamat GV6. Tak tahu mana silapnya. Adakah konsep salah atau cara marketing tidak betul?

naqiu 2

Naqiu rajin bertanya dan menimba ilmu dari orang sekeliling untuk terus berjaya.

"Itu yang membuatkan saya rasa kecewa dengan diri sendiri. Saya rasa belum cukup bagus lagi dalam industri ini. Hasil lagu-lagu tersebut tidak seperti apa yang saya impikan," katanya kepada mStar.

Naqiu ditemui ketika majlis tayangan drama pendek lakonannya berjudul Astana Mini Series yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Rabu.

Menilai sendiri pencapaian yang diperoleh pada hari ini, vokalis kumpulan Boboy ini memberitahu dia masih mencari jalan terbaik supaya lagu-lagu ciptaan dan nyanyiannya dapat diterima baik oleh peminat.

ARTIKEL BERKAITAN: Naqiu kembali ke pangkuan Boboy, lagu ‘leleh’ jadi taruhan kemunculan semula

ARTIKEL BERKAITAN: Naqiu (Boboy) beristeri dua? - “Usia anak-anak pun rapat, bila masa pula saya kahwin lain”

Tidak pernah berputus asa, Naqiu berharap tahun 2023 memberi satu episod baharu dalam kerjaya menerusi beberapa perancangan serta perubahan yang telah dibuat.

"Selepas tampil solo, ada pula permintaan untuk kembali bersama Boboy. Namun apabila muncul dengan lagu baharu impaknya hanya bertahan selama dua minggu sahaja. Saya tak tahu apa yang orang mahukan.

"Sebab itu saya masih mencari formula terbaik agar lagu-lagu saya nanti menjadi hits. Bukan sahaja diterima baik, malah dapat peluang untuk beraksi di pentas besar. Saya harapkan tahun 2023 akan datang boleh bawa tuah dalam kerjaya seni.

Saya rasa belum cukup bagus lagi dalam industri ini. Hasil lagu-lagu tersebut tidak seperti apa yang saya impikan

NAQIU

PENYANYI

"Saya juga sentiasa ingat pesan Datuk Ramli MS supaya buat lagu sendiri dan jangan mengharapkan karya orang lain," ujarnya.

Dalam masa sama, Naqiu juga sedia mengikut trend semasa termasuk apa yang tular di media sosial supaya perkembangan kerjayanya sejajar dengan permintaan pasaran.

Dia juga tidak mahu mensia-siakan peluang bergelar juara GV6 untuk terus mengembangkan bakat seni selepas menghilang selama 12 tahun sebelum menyertai program tersebut.

naqiu 3

Naqiu berkongsi gelaran juara GV6 bersama Hady Mirza.

"Saya kenalah bersikap realistik dan tidak boleh ikut kepala sendiri. Sebelum ini pernah rasa ego sehingga menyebabkan kumpulan Boboy hilang. Saya perlu sedar untuk memberi apa yang orang mahukan dan bukan bergantung kepada apa yang diharapkan.

"Sekarang ini saya sudah buat comeback. Jadi tidak mahulah sia-siakan peluang yang ada. Kalau boleh biar terus berkembang dalam dunia seni,” jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain