suria

Isu tak bayar hutang produser, Finas akan jumpa Awesome TV mahu selesai masalah

Barisan penerbit bersama Pengerusi Finas Senator Datuk Seri Zurainah Musa (empat dari kanan)

PIHAK Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akan menjadi orang tengah bagi menyelesaikan permasalahan antara Awesome TV dan beberapa produser berhubung kegagalan syarikat penyiaran itu melunaskan bayaran projek penerbitan kepada pekerja-pekerja seni.

Pengerusi agensi itu Senator Datuk Seri Zurainah Musa berkata, satu perjumpaan bersama wakil Awesome TV akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan masalah berkenaan.

“Kami akan cuba mengaturkan pertemuan dengan Awesome TV dan berbincang secara realistik. Kita cuba cari titik penyelesaian terbaik menerusi perbincangan yang sihat serta dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya kepada mStar.

Zurainah ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan beberapa orang produser di Kompleks Finas, Hulu Klang pada Khamis bagi mencari jalan penyelesaian selepas produk mereka yang disiarkan stesen televisyen itu tidak dibayar.

Ayu Rafiena Aida

Ayu, Rafiena dan A. Aida ketika menghadiri sesi perbincangan dengan Finas pada Khamis.

Pertemuan itu turut disertai Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) yang diwakili Timbalan Presidennya, Datuk A. Aida yang juga penerbit A. Aida Productions dan Ahli Perbadanan Finas.

Tambah Zurinah pihaknya akan memastikan ada tarikh penyelesaian antara kedua-dua bagi menamatkan permasalahan ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Fadzil Teh senada dengan A. Aida, pilihan pelakon bukan kuasa penerbit tapi stesen TV

ARTIKEL BERKAITAN: CEO Awesome TV berdepan saman... “Jangan sibuk jaga hal orang, bayar dulu hutang produser” – A. Aida

“Selepas ini kami akan cuba mengaturkan pertemuan dengan Awesome TV dan berbincang secara realistik.

“Kita cuba cari titik penyelesaian terbaik menerusi perbincangan yang sihat serta dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Sementara itu A. Aida mendedahkan hampir 10 orang penerbit tampil mengadu nasib mereka dan tidak mustahil mungkin ada lebih daripada itu yang mengalami nasib serupa.

Malah ada juga penerbit yang mahu mengambil tindakan undang-undang namun dinasihati tidak berbuat demikian.

1795895

Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas.

“Kalau boleh pihak Awesome TV patuhilah kontrak yang telah ditetapkan. Janganlah menyusahkan mana-mana pihak dalam urusan kerja.

“Ada penerbit drama yang mahu buat laporan polis, namun saya kata supaya sabar dahulu dan serahkan kepada Finas untuk selesaikan,” jelasnya.

Dalam pada itu Datuk Rafiena dari Dark Wave Pictures Sdn Bhd mendedahkan stesen terbabit masih belum menjelaskan baki tunggakan 80 peratus bayaran untuk projek drama 18 episod syarikatnya.

Sebagai seorang penerbit, Rafiena menganggap masalah sebegini boleh menggangu kelancaran urusan perniagaan jika apa-apa tindakan tidak dilakukan.

“Memanglah setakat ini masih belum ganggu urusan pernigaan, tetapi kita tidak tahu apa akan jadi pada masa akan datang. Kalau masalah ini berlarutan ia mungkin akan beri kesan kepada kami.

Rafiena

Rafiena berharap kemelut itu menemui penyelesaian.

“Apabila ada isu duit begini, saya sendiri segan untuk minta. Tetapi kalau sudah terlalu lama, perlulah ada satu tindakan untuk selesaikan semua masalah,” luahnya.

Manakala Fadzil Teh dari Zeel Production pula tidak mempunyai masalah untuk terus bekerjasama dengan Awesome TV walaupun berdepan masalah sama.

“Saya tiada masalah untuk bekerja dengan mana-mana pihak sekalipun. Cuma jika terdapat hal sebegini diharapkan ada jalan penyelesaian. Kalau boleh bayaran haruslah ikut kontrak yang ditetapkan,” katanya.

Produser lain yang hadir ialah Datuk Ayu Puteh (Pencil Pictures) dan Jaja Ishak (Kembara Sufi Sdn Bhd).

Isu lewat pembayaran ini timbul selepas A. Aida mendedahkan kemelut yang berlaku dalam kalangan penerbit bersama Awesome sejak dua tahun lalu.

A.Aida membuat pendedahan itu sebagai membidas cadangan Ketua Pegawai Eksekutif stesen televisyen itu, Datuk Adam Ilyas yang meminta Finas mengambil tindakan terhadapnya selepas dia membuat kenyataan memilih pelakon berdasarkan paras rupa.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain