suria

Rezeki tular di negara seberang, Meerqeen muncul drama pertama terbitan produksi Indonesia

Meerqeen bakal muncul dalam drama Modus Operandi.

POPULARITI drama Melur Untuk Firdaus yang turut mendapat sambutan luar biasa peminat di Indonesia membuka ruang buat aktor Meerqeen melebarkan sayap ke negara berkenaan.

Nama Meerqeen bukan sahaja menjadi kegilaan peminat di Indonesia bahkan beberapa produksi juga mula memberi tawaran lakonan serta pengacaraan.

Meerqeen, 21, menganggap perkara itu sebagai peluang terbaik bagi membuktikan kehadirannya dalam industri seni bukan sekadar meraih populariti sebaliknya serius membina nama sebagai pelakon berkaliber.

"Alhamdulillah saya bersyukur dengan tawaran diberikan oleh produksi di Indonesia. Kalau kena dengan masa dan jadual, pasti saya akan terima. Apa sahaja perkembangan nanti akan diumumkan kepada semua.

Meerqeen akan pertimbangkan untuk terima lebih banyak tawaran kerja di Indonesia.

Meerqeen bersyukur dengan sokongan peminat.

"Terima kasih kepada semua pihak, terutamanya peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seni saya. Tanpa sokongan dan doa semua, tak mungkin saya mampu melangkah sejauh ini.

"Kepercayaan diberikan membakar semangat saya untuk terus berusaha keras dan membuktikan kehadiran saya dalam bidang seni bukan main-main. Saya serius mahu menjadi insan seni yang disegani," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Mesra macam pasangan bercinta! Meerqeen tahu batas hubungan dengan Anna Jobling... Teruja bakal terbang ke Indonesia

ARTIKEL BERKAITAN: Aksi Meerqeen cium dahi pelawak Indonesia jadi perhatian, rupanya ada kisah sedih di sebalik perkongsian video Kiky Saputri

Memulakan langkah di negara Republik tersebut, Meerqeen bakal tampil dalam sebuah drama web berjudul Modus Operandi yang bakal ditayangkan pada 4 November ini menerusi saluran YouTube Bank Negara Indonesia.

Teruja diberi peranan utama dalam naskhah tersebut, Meerqeen mengakui gemuruh ketika menjalani penggambaran memandangkan cara kerja produksi Indonesia berbeza dengan di Malaysia.

Kepercayaan yang diberikan ini membakar semangat saya untuk terus berusaha keras dan membuktikan kehadiran saya dalam bidang seni bukan main-main

MEERQEEN

PELAKON

"Memang saya teruja tapi gemuruh bekerja dengan mereka yang berpengalaman. Ini merupakan produksi pertama saya di sana dan sedikit sebanyak ada perbezaan ketara terutamanya dalam cara bekerja.

"Tapi saya gembira kerana mereka banyak membantu malah ada sesi latihan bagi melancarkan proses penggambaran. Ini memberikan pengalaman berharga buat saya," katanya.

Tambah Meerqeen, sebagai seorang pelakon baharu, peluang mengembangkan bakat ke luar negara adalah satu penghormatan besar kerana bakatnya mula menjadi perhatian produksi.

meerqeen 2

Meerqeen seronok bekerja dengan rakan pelakon dan produksi Indonesia.

Secara tidak langsung penglibatan dalam drama tersebut sebagai langkah awal untuk terus meneroka lebih banyak cabang kerjaya di Indonesia.

"Sebelum ini, saya ke sana untuk bertemu dengan peminat dan memenuhi pelbagai undangan rancangan TV. Rentetan daripada kunjungan pertama itu, lebih banyak rezeki yang mula terbuka untuk saya mencuba.

“Sudah pasti sebagai pelakon baharu, saya gembira dengan tawaran yang datang. Mereka nampak sesuatu dalam diri saya dan ia merupakan penghormatan yang besar," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain