PEMAIN bass kumpulan Ella & The Boys iaitu Ayie, 69, meninggal dunia di kediamannya di Puchong, Selangor pada awal pagi Sabtu. Isteri Allahyarham, Siti Mariam Yaakob, 57, berkata, Ayie atau Zahari Mohammed meninggal dunia akibat masalah jantung dan kematiannya disahkan oleh pasukan paramedik pada pukul 3.05 pagi. Bagaimanapun kata Siti Mariam, suaminya itu sudah meninggal dunia dalam pangkuannya sekitar pukul 2 pagi sebelum pasukan perubatan tiba di rumah membuat pengesahan kematian. "Saya sebenarnya yakin dia meninggal dunia dalam pangkuan saya kira-kira pukul 2 hingga 2.30 pagi. Ayie mengadu sakit dada malam tadi. "Sebelum itu, saya ada telefon kenalannya untuk minta segera datang ke rumah. Merekalah yang menghubungi pasukan perubatan bagi melihat keadaan suami," katanya. Dalam pada itu, Siti Maryam memberitahu arwah tidak mempunyai penyakit jantung sebelum ini namun ada mengadu sakit dada sekitar pukul 10 malam selepas pulang daripada studio. ARTIKEL BERKAITAN: Suami Salamiah Hassan meninggal dunia selepas 2 bulan berumah tangga ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Abby Abadi meninggal dunia, tiba-tiba pengsan ketika rawatan dialisis Katanya, kebiasaannya Ayie akan sampai ke rumah sekitar pukul dua ke tiga pagi dari studio namun pada Jumaat suaminya itu pulang lebih awal. "Selalunya dia balik lambat, sama ada pukul dua atau tiga pagi. Tetapi malam tadi, dia memang pulang cepat sehinggakan saya terfikir mungkin dia penat. "Bagaimanapun sekitar pukul 10 malam dia mengadu sakit dada. Saya usap dahi dan mengajarnya mengucap," katanya. Ayie merupakan pemain bass Ella & The Boys. Sementara itu, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohol, Kinrara, Puchong. Untuk info, Zahari menganggotai kumpulan Ella & The Boys bersama Ella (penyanyi), Lord (gitar) dan Mie (dram) pada 1981. Antara lagu-lagu yang dipopularkan oleh mereka termasuklah Dua Insan Bercinta, Cinta Berakhir dan Hanya Secebis Jawapan. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI