suria

Selepas 7 tahun genggam PhD, Ahmad Idham ada ‘resipi’ bangunkan Port Dickson

Ahmad Idham janji ilmu bakal dikongsikan bersama penduduk Port Dickson.

SELEPAS tujuh tahun berhempas pulas menyiapkan penyelidikan, pelakon dan pengarah Ahmad Idham berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan (PhD) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Ahad.

Ahmad Idham berkata, Majlis Konvokesyen Ke-34 UUM merupakan hari penuh bersejarah buat dirinya apabila berjaya menamatkan pengajian yang disifatkan penuh cabaran dan rintangan bagi menyiapkan penyelidikannya.

"Penantian selama hampir tujuh ini membuahkan hasil apabila saya berjaya menghabiskan penyelidikan saya dalam bidang pengurusan," katanya.

Ahmad Idham berjaya menggengam Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan (PhD).

Ahmad Idham berkata, dia bergegas ke Sintok, Kedah untuk upacara konvokesyen tersebut selepas Hari Penamaan Calon Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) yang diadakan pada Sabtu.

Pelakon itu bertanding merebut kerusi Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan mewakili Gerakan Tanah Air (GTA) di bawah Parti Pejuang.

Kerusi Parlimen Port Dickson menyaksikan saingan empat penjuru iaitu Ahmad Idham (GTA-Pejuang), Datuk Seri Aminuddin Harun mewakili Pakatan Harapan (PH), Datuk P. Kamalanathan (Barisan Nasional) dan Rafie Mustapha (Perikatan Nasional).

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Idham, Eizlan tak janji ‘bulan dan bintang’, Jurey mahu wujudkan floating market di Lenggong jika menang PRU15

ARTIKEL BERKAITAN: Eizlan, Ahmad Idham antara 5 selebriti bakal rebut jawatan wakil rakyat

"Usai pengumuman penamaan calon Parlimen Port Dickson untuk PRU15 semalam, saya terus bergegas ke Sintok sebagai persiapan akhir sebelum majlis konvokesyen yang berlangsung pada hari ini.

"Walaupun jadual dan masa pergerakan yang sangat padat kurang daripada 24 jam, namun ia adalah tanggungjawab yang harus saya terima dan laksanakan," katanya.

Perkara itu dikongsikan Ahmad Idham menerusi Intagram miliknya.

Ahmad Idham tunggu tujuh tahun untuk genggam PHD.

Dalam pada itu, dia berharap agar ilmu yang diperolehi dapat dikongsikan bersama penduduk Port Dickson sekiranya berpeluang merebut kerusi di kawasan tersebut.

"Saya mengharapkan dengan ilmu yang saya ada dapat dimanfaatkan dan diterjemahkan pelaksanaannya dalam mengurus tadbir selain mempopularkan Port Dickson sebagai bandar pelancongan yang mempunyai keunikan tersendiri.

"Selain itu, saya mengharapkan dengan berjaya menghabiskan penyelidikan dan menerima Ijazah Kedoktoran ini dapat mencetuskan semangat untuk belajar selain dapat memberikan inspirasi kepada anak-anak muda khususnya di Port Dickson untuk melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat tertinggi," kongsinya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain