PELAKON drama Sitik Tok dan Oh My Hantaran iaitu Syazlin Zainal dilaporkan meninggal dunia pada petang Khamis. Berita mengejut pemergian aktres berusia 26 tahun ini disahkan oleh sepupunya iaitu Trisya Azahar menerusi akaun Twitter. "Kepada yang mengenali sepupu saya, Syazlin Zainal minta sedekahkan Al-Fatihah kepada beliau,” tulisnya. Difahamkan jenazah kini berada di Johor dan punca kematian masih lagi dalam siasatan. mStar sedang berusaha mendapatkan maklumat lanjut mengenai pemergian pelakon yang juga merupakan influencer ini. Pemergian pelakon ini mengejutkan ramai. Dalam pada itu, akaun Instagram kelab peminatnya turut meluahkan rasa sedih dan memaklumkan akan memadam akaun itu. "Semoga segala urusan dipermudahkan dan mohon maaf atas segala kekurangan atau kekhilafan. Akaun ini akan ditutup," tulisnya. Berita pemergian Syazlin turut mengejutkan rakan-rakan artis antaranya Anna Jobling, Nabila Razali, Nadia Brian dan Elisya Sandha. "Al-Fatihah kami akan merindui kamu Alin. "Allahuakbar, perginya kamu terlalu cepat," tulis peminat dan rakan artis di muat naik terakhir Instagram Syazlin. Untuk info, Syazlin pernah membintangi beberapa drama televisyen termasuklah Sitik Tok, Dia yang Ku Jadikan Suami, Takdir Yang Tertunda dan Ada Yang Ngikut. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI