suria

Tewas PRU15… Jurey Latiff kembali duduk kerusi pengarah, Eizlan Yusof simpan kenangan jumpa pengundi

Jurey (kiri) dan Eizlan tewas bertanding PRU15.

MENERIMA hakikat kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada Sabtu, dua penggiat seni iaitu Datuk Jurey Latiff Rosli dan Datuk Seri Eizlan Yusof menyifatkan pertama kali bertanding sebagai pengalaman berharga.

Jurey yang bertanding di Parlimen Lenggong memberitahu meskipun namanya sudah dikenali dengan latar belakang baik dalam dunia seni ia tidak mencukupi untuk memancing undi golongan muda di kawasan itu.

"Tiga perkara utama yang saya dapat dalam PRU15 adalah meskipun dikenali ia tidak menjaminkan kemenangan. Perlu ada akar umbi yang kuat dalam parti.

jurey 11

Jurey kembali fokus ke dunia seni.

"Keduanya adalah naratif baik dalam berkempen dan ketiga pula perlu mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

"Saya melihat secara keseluruhan pengundi muda sekarang beralih kepada manifesto yang lebih memperjuangkan agama. Kita sibuk tentang ekonomi anak muda tapi terlupa dengan apa yang lebih dekat di hati mereka," katanya kepada mStar.

Jurey yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) iaitu Dr Shamsul Anuar Nasarah dengan undian sebanyak 3,382.

ARTIKEL BERKAITAN: PRU15: Rakyat tolak selebriti... Eizlan, Jurey dan Lando kempunan jadi YB

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Idham terus jadi ‘suara’ rakyat PD, tetap pertahankan usaha hab Pendidikan Khas

Mengulas penglibatan dalam dunia politik, Jurey memberitahu dia mahu berehat seketika dan kembali fokus untuk duduk di kerusi pengarah.

"Saya akui rindu dengan kerja sebagai pengarah kerana sejak beberapa bulan lalu sibuk dengan politik. Jadi rasanya rehat seketika sebelum merancang strategi akan datang.

"Saya akan kembali ke lokasi sebagai pengarah kerana itu adalah minat yang lebih mendalam," ujarnya.

Saya akui rindu dengan kerja sebagai pengarah kerana sejak beberapa bulan lalu sibuk dengan politik

DATUK JUREY LATIFF ROSLI

PENGARAH/PENERBIT

Sementara itu, Eizlan yang kalah di Parlimen Sabak Bernam menyifatkan peluang bertemu dengan penduduk di kawasan itu sebagai kenangan tidak boleh dilupakan.

Sama seperti Jurey, Eizlan gembira diberi peluang untuk terlibat dalam dunia politik serta mendapat kepercayaan untuk bertanding.

"Walaupun tidak banyak yang saya capai, tapi cukup untuk saya menyatakan kegembiraan sepanjang kempen PRU15, dapat bertemu dan berkenalan dengan pelbagai lapisan masyarakat di Sabak Bernam.

eizlan1 - 1

Eizlan seronok jalani proses berkempen sepanjang PRU15.

"Ada yang mengundi saya, ramai yang tidak mengundi saya, tapi perkenalan dengan penduduk-penduduk Sabak Bernam, kehadiran saya disambut dan diraikan oleh anda semua, merupakan suatu pengalaman serta kenangan yang tidak akan dilupakan.

"Saya gembira menjadi salah seorang peserta dalam sistem demokrasi Malaysia yang semakin subur," ujarnya.

Eizlan tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Kalam Salam yang memperoleh majoriti sebanyak 5,056 undi.

Menerusi PRU15, Eizlan bertanding di bawah tiket Pejuang menerusi parti Gabungan Tanah Air (GTA) hanya mendapat 460 undi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain