JURI profesional program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) Datuk Ramli MS dikejutkan dengan sebiji kek cokelat bersempena hari jadinya yang ke-64. Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu gamat apabila semua hadirin turut menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi kepada Ramli. Ramli dikejutkan dengan sambutan itu ketika hos program berkenaan, Nabil Ahmad dan Elly Mazlein memperkenalkan barisan juri pada awal program sebelum mendedahkan pengarah muzik itu baharu sahaja menyambut hari jadinya pada 17 November lalu. "Semoga Tok Ram dipanjangkan umur 100 tahun, Insya Allah... dikelilingi orang disayangi dan diberkati," ucap Nabil kepada Ramli. Ramli memotong kek cokelat yang dikejutkan kepadanya. Bagaimanapun auditorium berkenaan bertukar gamat apabila Nabil mencium pipi kiri dan kanan serta dahi Ramli. Tidak hanya itu, Nabil turut memeluk erat Ramli yang mendapat tepukan daripada penonton. ARTIKEL BERKAITAN: Gegar Vaganza musim ke-9 tambah seminggu lagi, final 27 November 2022 ARTIKEL BERKAITAN: Vokal sesuai lagu tapi ada peserta lebih bagus, Asheed (Def Gab C) tersingkir suku akhir GV9 Umum mengetahui keakraban hubungan Ramli dan Nabil yang sama-sama menjayakan GV sejak musim pertama. Dalam pada itu, secara berseloroh, Nabil sambil memandang ke arah kamera meminta ibunya, Rohaizah Abdul Latiff menghantar mesej kepada Ramli. "Mak, jangan lupa DM!," katanya. Peringkat separuh akhir GV9 pada malam Ahad bakal menyaksikan lapan peserta bakal berentap menerusi dua persembahan iaitu solo dan duet bagi melayakkan diri ke final minggu hadapan. Lapan peserta yang berentap adalah Shila Amzah, Jaclyn Victor, Tomok, Fuad Rahman, Hazrul Nizam, Bob Yusof, Dina Nadzir dan kumpulan V.E. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI