suria

Ada sebab suami menangis dapat kejutan, Syura pula kekok hamil lagi selepas 11 tahun

Syura bersyukur diberi rezeki anak meskipun baharu 11 bulan berkahwin.

PENYANYI Syura Badron berasa kekok apabila disahkan hamil selepas 11 bulan mendirikan rumah tangga dengan Muhd Farizat Ismail Januari lalu.

Syura atau Zuraidah Badron, 36, berkata, perasaan itu timbul kerana kali terakhir dia hamil adalah sekitar 11 tahun lalu namun bersyukur diberikan rezeki oleh Allah.

"Kalau ikutkan perkahwinan kami belum sampai setahun tapi Alhamdulillah dapat rezeki anak awal.

"Kali terakhir hamil adalah 11 tahun lepas, jadi perasaan itu agak kekok seperti mengandung anak pertama.

Syura Hamil

Syura buat kejutan kepada suaminya.

"Alhamdulillah kehamilan anak keempat ini tidak mengalami sebarang alahan teruk cuma kadangkala saya sakit tekak dan mengalami demam," katanya kepada mStar.

Syura ditemui selepas membuat persembahan di separuh akhir Muzik-Muzik ke-37 (SFMM37) yang berlangsung di Plaza Alam Sentral pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Syura bakal timang cahaya mata Mac 2023, suami tergamam dapat hadiah ‘romper’ dalam kotak

ARTIKEL BERKAITAN: Sembilan tahun jadi ibu tunggal, Syura Badron kembali bergelar isteri

Penyanyi itu terdahulu mengumumkan di Instagram sedang hamil lima bulan dan dijangka bersalin pada Mac 2023.

Syura turut membuat kejutan kepada suami dengan menghadiahkan kotak misteri yang tersimpan pakaian bayi dengan tertera perkataan 'You Are Going To Be a Dad Soon'.

Kali terakhir hamil adalah 11 tahun lepas, jadi perasaan itu agak kekok seperti mengandung anak pertama.

SYURA BADRON

PENYANYI

Dalam pada itu, Syura berkata, suaminya tidak pernah meletakkan harapan tinggi untuk menimang cahaya mata secepat ini apatah lagi usianya yang semakin meningkat.

Malah kata Syura, mereka berdua pernah berbincang secara mendalam tentang kemungkinan dia tidak dapat memberikan zuriat memandangkan Muhd Farizat tidak pernah berkahwin sebelum ini.

Syura dan Isteri

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 22 Januari lalu.

"Sebelum bernikah kami pernah bincang mengenai soal anak kerana usia saya sudah menjangkau 36 tahun... jadi banyak perkara bermain di fikiran apatah lagi suami tidak pernah berkahwin sebelum ini.

"Tapi dia sudah menegaskan bahawa dia tidak kisah seandainya kami tidak diberikan rezeki anak dan memahami keadaan saya.

"Bagaimanapun sebaik tahu saya disahkan hamil dia orang paling gembira," katanya.

Syura 2

Anak-anak turut teruja dengan berita kehamilan ibu mereka.

Tidak hanya suami, Syura turut teruja melihat ketiga-tiga anaknya tidak sabar menanti kelahiran adik mereka.

Untuk rekod ini merupakan perkahwinan kedua Syura selepas bercerai dengan bekas suami Mohd Fadhly Md Yassin pada Ogos 2015.

Hasil perkahwinan terbabit, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nurul Dania Irdani, 15, Nurul Qaisara Sofia, 13 dan Muhammad Irfan Aryan, 11 tahun.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain