SEJAK kebelakangan ini, wajah pelakon Izzue Islam jarang kelihatan dalam mana-mana drama mahupun filem sehingga membuatkan peminat tertanya-tanya tentang kehilangannya. Izzue atau Muhammad Izzul Islam Mazlan, 32, berkata, dia tidak menghilangkan diri sebaliknya ketika ini sibuk memenuhi undangan sebagai pengacara. "Saya tak hilang tapi sibuk dengan kerjaya dalam dunia pengacaraan dan disebabkan itu, saya sudah jarang berlakon. "Saya melibatkan diri dalam cabang baru ini kerana tidak mahu terikat dengan lakonan sahaja tetapi itu bukan bererti saya sudah tidak mahu berlakon. Izzue semakin selesa bergelar pengacara. "Setakat ini saya banyak mengambil watak pembantu dan jika ada menawarkan peranan utama saya pilih mana bersesuaian kerana sedang mengutamakan kepada pengacaraan," katanya kepada mStar. Izzue memaklumkan perkara itu ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Remp-It 2 baru-baru ini. ARTIKEL BERKAITAN: Impian Farid Kamil terbit filem sendiri terlaksana, ‘Remp-it 2’ buah tangan pertama selepas 16 tahun ARTIKEL BERKAITAN: Niezam Zaidi ikut tabligh dalami agama, perbaiki diri selepas terlibat kes dadah Selain Izzue, Remp-It 2 turut membariskan pelakon seperti Farid Kamil, Cat Farish, Niezam Zaidi dan Farez Ridzwan. Ia sedang ditayangkan di pawagam sejak 24 November lalu. Dalam pada itu, Izzue memberitahu pandemik Covid-19 yang melanda negara sekitar dua tahun lalu membuka pintu rezekinya dalam bidang tersebut memandangkan ketika itu tidak banyak tawaran lakonan yang datang. Saya tak hilang tapi sibuk dengan kerjaya dalam dunia pengacaraan. IZZUE ISLAM PELAKON & PENGACARA Izzue berkata, dia bermula menjadi pengacara apabila diberi kepercayaan mengendalikan sebuah program secara digital dan sejak itu banyak pihak mula mengesan bakatnya. "Waktu itu siapa yang berlakon langsung tidak dapat buat apa-apa disebabkan PKP dan sukar bagi kami nak survive sebab tiada tawaran. "Tapi waktu itu pula saya banyak tawaran bagi mengendalikan program secara digital dan sejak itu saya mula rasa yakin dan mahu lebih serius sebagai pengacara. Izzue tetap aktif berlakon. "Pandemik sebelum ini ada hikmah tersendiri buat saya kerana kalau tidak saya mungkin tidak tahu boleh pergi jauh dalam bidang ini," jelasnya. Sementara itu, Izzue menjelaskan bidang tersebut banyak memberinya pengalaman baharu dan semakin selesa menggalas tanggungjawab sebagai hos. Malah katanya, jadualnya ketika ini padat dengan tawaran pengacaraan dan menganggap ia sebagai rezeki. "Jadual memang padat sampai kalau ada tawaran berlakon saya perlu susun kembali jadual agar tidak bercanggah. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI