PELAKON Datuk Adi Putra berharap perjuangannya sebagai penggiat seni bukan sekadar mendapat manfaat di dunia tetapi akhirat kelak. Adi atau Muhammad Hadi Putra Halim, 41, berkata, dia berharap apa dilakukan sebagai seorang pelakon dapat membawa mesej yang baik buat penonton dan bukannya sekadar perkara sia-sia. "Mudah-mudahan dengan apa yang kita perjuangkan dalam dunia perfileman ini, bukan sekadar untuk dunia, mesej yang kita mahu sampaikan adalah untuk di akhirat satu hari nanti," katanya. Adi berkongsi perkara itu sebagai ucapan kemenangannya yang berjaya meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) menerusi lakonannya dalam Mat Kilau: Kebangkitan Seorang Pahlawan. Adi dan Fattah Amin sebagai teraju utama Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan. FFM32 berlangsung di Encore Theatre, Melaka pada malam Jumaat dan Adi tidak dapat menghadiri acara berkenaan ekoran berada di Tanah Suci Makkah bagi menjalani ibadah umrah. Dalam pada itu, aktor kelahiran Singapura itu turut memberi penghargaan kepada pengarah filem tersebut, Syamsul Yusof kerana memberinya peluang memegang watak sebagai Mat Kilau sehingga berjaya memenangi trofi FFM. ARTIKEL BERKAITAN: 'Spilt Gravy' Filem Terbaik FFM32 raih 7 anugerah, ketepikan Mat Kilau ARTIKEL BERKAITAN: Kejayaan 'Spilt Gravy' di FFM32 milik arwah Jit Murad, semangat Zahim Albakri membara buat filem baharu tahun depan Tidak hanya itu, Adi turut melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong kariernya sebagai pelakon. "Saya ingin kongsikan juga kepada semua pemenang, tahniah kepada anda semua kerana berjaya memenangi anugerah di FFM32. "Kepada pengarah Syamsul Yusof, terima kasih kerana memberi saya peluang untuk membawa watak Mat Kilau. Alhamdulillah," katanya. Mesej yang kita mahu sampaikan adalah untuk di akhirat satu hari nanti. ADI PUTRA PELAKON Sementara itu, aktor Beto Kusyairy yang turut tidak dapat menghadiri FFM32 turut melahirkan rasa penghargaan atas kerja keras produksi sehingga membolehkan dia merangkul anugerah Pelakon Pembantu Terbaik. "Syukur Alhamdulillah, walau gayat juga atas pengiktirafan setinggi ini. Ampun maaf kepada pihak festival kerana tidak dapat bersama-sama meraikan dek kekangan masa serta tanggungjawab sedia ada. "Kepada seluruh warga penerbitan filem Mat Kilau, terutama sang nakhoda Syamsul Yusof yang jerih perihnya saya tidak boleh pertikai, ini adalah hasil daripada kerja keras hempas pulas anda juga," katanya. Aktor itu sempat mengingatkan penonton untuk tidak menonton karya cetak rompak khususnya filem tempatan menerusi telegram atau sebarang platform yang tidak sah. Barisan pelakon filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan. "Terima kasih kepada yang menyokong. Terus semarakkan filem kita melalui cara yang betul. Hentikan tontonan cetak rompak terutamanya filem tempatan di platform yang tidak sah. "Sekecil inisiatif ini dapat memberi impak besar kepada kami selaku penggiat untuk memartabatkan filem kita," jelasnya. Untuk rekod, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan meraih empat anugerah di FFM32 termasuk Pelakon Terbaik Lelaki (Adi Putra), Anugerah Khas Juri (Box Office), Anugerah Khas Juri dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Beto Kusyairy). Filem arahan Datuk Zahim Albakri, Spilt Gravy dinobat sebagai Filem Terbaik yang menerima trofi dan hadiah berupa Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM500,000. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI