suria

Badan tak lagi melengkung, Zamani buat persembahan pertama selepas pembedahan... Aznil Nawawi pula menitis air mata

Zamani kembali buat persembahan selepas pembedahan.

SELEPAS hampir sebulan menjalani pembedahan tulang belakang akibat penyakit scoliosis pada November lalu, penyanyi Zamani tampil membuat persembahan pertama pada malam Ahad.

Menerusi perkongsian oleh isterinya iaitu Nur Juliana Abd Rani, postur badan Zamani dilihat kembali menegak dan bergerak aktif di atas pentas sambil melayani peminat.

Nur Juliana memberitahu suaminya itu sudah kembali aktif selain turut berterima kasih kepada peminat yang hadir memeriahkan suasana majlis tersebut.

"Persembahan pertama selepas menjalani pembedahan tulang belakang. Terima kasih kepada CEO dan warga kerja DATUM kerana menjemput serta pengunjung-pengunjung yang hadir. Terima kasih kerana sudi hadir malam tadi," katanya.

Zamani kembali menghiburkan peminat selepas pembedahan.

Perkara itu dikongsikan Nur Juliana menerusi Instagram miliknya yang turut memperlihatkan Zamani sedang menyanyikan lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta.

Sementara itu, pengacara Datuk Aznil Nawawi selaku individu yang banyak membantu mengumpul dana pembedahan Zamani turut meluahkan rasa syukur dan gembira melihat penyanyi berusia 51 tahun itu kembali sihat.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Zamani dibenarkan keluar hospital, badan dah tak ‘bengkok’ lagi

ARTIKEL BERKAITAN: Zamani selamat jalani pembedahan tulang belakang, isteri ucap terima kasih doa peminat

Kata Aznil, dia menitiskan air mata menonton persembahan Zamani bukan kerana sedih tetapi gembira melihat bekas vokalis kumpulan Slam itu sudah mampu menghiburkan peminat kurang daripada sebulan selepas pembedahan.

"Allahuakhbar, terima kasih Allah kembalikan kesihatan dan keadaan fizikal Zamani kepada dahulu. Menitis air mata gembira menonton persembahan pertama Zamani selepas membuat persembahan. Kurang dari sebulan selepas pembedahan dilakukan," katanya di Instagram.

Dalam pada itu, rata-rata peminat kagum sekali gus gembira melihat perkembangan kesihatan Zamani yang memberangsangkan selain menunjukkan perubahan ketara.

Peminat gembira Zamani semakin sihat dan kuat.

"Syukur... gembira lihat Zamani dah buat persembahan semula. Dah makin sihat dan kuat dah.

"Tetap tak hampakan peminat walaupun nampak dia penat semoga terus sihat abang Zamani," antara komen netizen.

Untuk rekod, Zamani menghidap penyakit skoliosis sejak 2015 dan keadaan dilihat semakin teruk apabila badannya tidak boleh berdiri tegak ekoran tulang belakangnya melengkung.

Penyanyi itu melakukan pembedahan membetulkan tulang belakangnya pada 7 November lalu di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain