suria

Sorotan 2022: Artis bijak simpan kisah cinta, kejutkan peminat dengan berita perkahwinan

Antara selebriti yang mengakhiri zaman bujang pada 2022.

TAHUN 2022 menyaksikan ramai selebriti memilih menamatkan zaman bujang, selain ada juga kembali mendirikan rumah tangga selepas perkahwinan sebelum ini mengalami kegagalan.

Bagaimanapun ramai di antara selebriti yang berkahwin membuat kejutan apabila berjaya merahsiakan hubungan cinta mereka sebelum berkongsi berita perkahwinan mereka.

Antara selebriti yang mendirikan rumah tangga tahun ini termasuklah Wany Hasrita, Heliza Helmi, Mas Idayu, Da'i Syed, Adam Lee dan Swee Qismina.

Disebabkan penularan wabak Covid-19 yang masih berlaku, ada dalam kalangan mereka yang mengadakan majlis secara tertutup selain secara gilang gemilang dengan tajaan jutaan ringgit.

Sorotan mStar menghimpunkan barisan selebriti yang melangsungkan perkahwinan pada 2022.

heliza - 1

Heliza dan suami bernikah pada Januari 2022.

1. Heliza Helmi & Mahadi (1 Januari 2022)

Penyanyi Heliza Helmi, 36, memilih menamatkan zaman bujang dengan ahli perniagaan, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman, 38, di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 1 Januari 2022.

Heliza sah menjadi isteri Mahadi dengan sekali lafaz dan menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin serta senaskhah al-Quran.

Suaminya, Mahadi merupakan pengasas dan presiden AUF MBZ Concortium iaitu syarikat yang menawarkan perkhidmatan pelaburan kewangan.

Dia juga pernah viral pada 2017 selepas kereta mewah jenis Jaguar miliknya dihiasi 4,600 buah kereta mainan 'Hot Wheel'.

wany - 1

Wany menerima sebentuk cincin berlian sebagai mas kahwin.

2. Wany Hasrita & Adib Fahmi (22 Julai 2022)

Dengan dua kali lafaz, penyanyi Wany Hasrita, 29, sah bergelar isteri kepada Muhammad Al Adib Fahmi Harun, 30, dengan sebentuk cincin berlian sebagai mas kahwin.

Majlis pernikahan pasangan ini diadakan di Glam Hall, Damansara Perdana, Selangor kira-kira pukul 9.15 malam pada 22 Julai 2022.

Wany dan suami mula kenal sejak 2010 dan mereka menjadi rapat sembilan tahun kemudian. Sikap saling memahami antara satu sama lain menjadikan pasangan ini serasi dan mudah untuk membuat keputusan melangkah ke fasa seterusnya.

Majlis pernikahan itu dihadiri kira-kira 300 tetamu terdiri daripada keluarga kedua belah pihak dan media.

shahir - 1

Shahir mengenali isterinya di Instagram.

3. Shahir & Jaskin (3 September 2022)

Bekas juara program Akademi Fantasia musim ke-8 (AF8), Shahir Zawawi, 34, selamat bergelar suami kepada Jaskin Jaludin, 30, dengan mask kahwin sebanyak RM300 dan wang hantaran RM20,000.

Majlis pernikahan pasangan ini diadakan di Bizmilla Wedding Centre, One City, Subang pada 3 September 2022.

Perkenalan mereka bermula menerusi Instagram, dan pada waktu itu Jaskin tidak mengenali Shahir sebagai seorang selebriti. Kali pertama kali berbual menerusi telefon, Shahir mengajak Jaskin menghadiri kursus perkahwinan dan wanita itu pun bersetuju.

mas - 1

Mas memilih Penerbit Eksekutif TV3 sebagai pasangan hidup.

4. Mas Idayu & Sufian Isa (16 September 2022)

Selepas 17 tahun hidup bersendirian, penyanyi Mas Idayu, 50, akhirnya bergelar isteri kepada Penerbit Eksekutif TV3, Muhammad Sufian Che Isa, 51, pada pagi Jumaat 16 September 2022.

Pasangan ini melangsungkan pernikahan di Magica Event Hall, Quill City Mall, Kuala Lumpur dengan kehadiran keluarga terdekat dan pihak media.

Penyanyi Cintaku 100% ini memberitahu dia tergerak hati untuk mencari teman hidup apabila timbul rasa sunyi dalam diri selepas sudah terlalu lama hidup bersendirian.

Untuk rekod, Mas pernah berkahwin dengan aktor Aman Graseka pada 1997, namun mereka bercerai pada 2006. Hasil perkahwinan itu, Mas dan Aman dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Nur Dayini Ayiqa yang kini berusia 25 tahun.

sweet - 1

Adam memilih tarikh ulang tahun kelahiran Sweet sebagai hari pernikahan.

5. Sweet Qismina & Adam Lee (24 Oktober 2022)

Pasangan selebriti, Adam Lee, 28, dan Sweet Qismina selamat diijab kabul pada 24 Oktober 2022, iaitu tarikh yang dipilih sempena ulang tahun kelahiran aktres itu. Adam turut menyerahkan mas kahwin berjumlah RM2410,97 sebagai simbolik kepada tarikh kelahiran Sweet atau Farhanna Qismina Supandi, 24.

Majlis pernikahan pasangan selebriti itu diraikan di The Boathouse, Ampang Kuala Lumpur dengan dihadiri keluarga kedua-dua pihak dan rakan media.

Untuk info, Adam dan Sweet mengikat tali pertunangan pada 25 Oktober 2021 selepas tiga tahun melayari alam percintaan.

najwa - 1

Najwa bertemu jodoh dengan Akwa Arifin.

6. Najwa Latif & Akwa (11 November 2022)

Penyanyi dan pensyarah, Najwa Latif, bertemu jodoh dengan rakan duetnya, penyanyi rap Akwa Arifin, 30, pada 11 November 2022 dan majlis pernikahan mereka diadakan di Batu Pahat, Johor. Akwa menyerahkan mas kahwin berupa 2.5 gram emas kepada pengantin perempuan.

Najwa atau Imratul Najwa Abdul Latif, 27, mendedahkan dia memulakan langkah meluahkan perasaan terlebih dahulu kepada Akwa.

Najwa dan Akwa pernah berkolaborasi menerusi dua buah single iaitu Dua dan Tak Kisah Pun. Pasangan ini pernah digosipkan bercinta namun kedua-duanya memilih mendiamkan diri atau mengeluarkan kenyataan secara terbuka kepada umum.

dai - 1

Da'i Syed bernikah dengan personaliti TV, Hana Ismail.

7. Da’i Syed & Hana Ismail (3 Disember 2022)

Pendakwah selebriti, Da'i Syed, 27, telah sah bergelar suami kepada personaliti TV, Hana Ismail, 36, pada 3 Disember 2022 di Masjid Ibnu Mas’ud Kuala Lumpur. Syed menyerahkan mas kahwin berbentuk seutas gelang emas kepada pengantin perempuan.

Pada mulanya, perbezaan jarak umur 9 tahun membuatkan Hana ragu-ragu untuk menerima Syed, namun selepas membuat solat istikharah dia yakin bahawa Syed adalah pilihan yang tepat.

Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 23 Oktober 2022 di kediaman Hana di Johor Bharu.

anita - 1

Anita kini kembali bergelar seorang isteri.

8. Anita Baharom & Engku Isyamuddin (22 Disember 2022)

Selepas hampir setahun bergelar ibu tunggal, pelakon Anita Baharom, 39, kini sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan Engku Isyamuddin Tuan Losin, 48, pada 22 Disember lalu.

Majlis pernikahan pasangan ini berlangsung di Garden Hall, Bizmilla One City Subang Jaya dan pengantin perempuan menerima tiga keping dinar emas sebagai mas kahwin.

Menariknya, sebelum ijab dan Kabul berlangsung, majlis khatam al-Quran oleh pengantin lelaki turut diadakan.

Aktres itu berharap perkahwinan kedua ini dapat memberikan kebahagiaan bukan sahaja untuk dirinya tetapi untuk anak-anak kerana mereka juga memerlukan kasih sayang seorang bapa.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain