suria

Sorotan 2022: Artis pun manusia biasa... kalau dah tiada jodoh, berpisah jua

Tiada lagi persefahaman jadi punca penceraian.

TIADA pasangan yang membuat keputusan mendirikan rumah tangga terfikir perkahwinan dibina akan berakhir dengan penceraian.

Namun, seiap perpisahan itu adalah takdir yang sudah tertulis buat seseorang termasuklah golongan selebriti yang kehidupan mereka sentiasa menjadi perhatian peminat.

Tahun 2022 juga memperlihatkan ada beberapa selebriti yang memilih berpisah apabila rumah tangga dibina berdepan konflik dan tidak dapat diselamatkan lagi.

Berikut adalah himpunan beberapa kisah penceraian yang menjadi perhatian sepanjang tahun ini.

saleha - 1

Siti Saleha bercerai pada Januari lalu.

1. Siti Saleha & Ahmad Lutfi (17 Januari 2022)

Pelakon Siti Saleha, 32, sah bercerai talak satu dengan suami Ahmad Lutfi Azhar di Mahkamah Rendah Syariah Klang pada 17 Januari 2022.

Saleha berkongsi, jodohnya dengan suami tidak panjang dan tiada lagi kesefahaman antara mereka.

Untuk rekod, Saleha mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Lutfi pada 28 Julai 2017 dan mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

553

Avaa dan Amil berkahwin pada 2011.

2. Avaa Vanja (7 Februari 2022)

Selepas lebih sebulan turun naik mahkamah, pelakon Avaa Vanja akhirnya bercerai dengan Amil Sulaiman pada 7 Februari 2022 di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur dengan talak satu.

Avaa, 42, memfailkan penceraian terhadap Amil selepas membuat laporan polis mendakwa dia dan anaknya menjadi mangsa dera.

Pelakon filem Kampung Pisang Bersiri-Siri itu mendirikan rumah tangga dengan Amil pada 2011 dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan yang kini berusia 10 tahun.

azri - 1

Selepas 19 tahun berkahwin, akhirnya Azri dan Ellie bercerai.

3. Ellie Suriaty & Azri Iskandar (17 Mei 2022)

Pasangan selebriti Azri Iskandar, 54, dan Ellie Suriaty, 52, mengejutkan peminat apabila mengesahkan sudah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur (Keramat) pada 17 Mei 2022.

Keputusan berpisah itu dibuat ekoran sudah tiada persefahaman selepas 19 tahun melayari bahtera perkahwinan.

Azri dan Ellie mendirikan rumah tangga pada 2003 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata aitu Azrell, Nur Azreen dan Nur Aliah.

bad - 1

Ashira dan Bad bercerai secara baik.

4. Ashira & Bad Indigo (Jun 2022)

Tiada angin, tiada ribu, penyanyi Ashira, 38, dan suaminya yang juga ahli kumpulan Indigo, Bad, 47, mengumumkan bahawa rumah tangga mereka sudah berakhir sekitar Jun lalu.

Ashira dan Bad mengumumkan perkara itu menerusi laman Instagram dan memberitahu keputusan berkenaan dibuat atas persetujuan bersama.

Bekas peserta Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) selamat menjadi pasangan suami isteri pada Mac 2021 dan mereka belum dikurniakan cahaya mata.

Jelas Ashira, dia memaklumkan perkara itu kerana enggan mana-mana pihak membuat spekulasi tidak benar mengenai rumah tangga mereka.

nina - 1

Noh dan Mizz Nina bercerai talak satu.

5. Noh Salleh & Mizz Nina (Ogos 2022)

Selepas mengambil langkah mendiamkan diri berhubung status rumah tangganya, penyanyi Noh Salleh, 37, akhirnya mengesahkan dia dan Mizz Nina, 42, sudah bercerai pada Ogos 2022.

Noh berkongsi perkara itu menerusi Instagram dan menjelaskan keputusan bercerai yang dibuat adalah selepas mereka bersetuju untuk membawa haluan masing-masing.

Pihak media melaporkan pasangan itu bercerai talak satu dengan lafaz yang dibuat di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

Untuk rekod, Noh dan Mizz Nina berkahwin pada 2 Julai 2011 dan mempunyai seorang anak angkat bernama Musa.

nad - 1

Nad dan suami memilih untuk berpisah.

6. Nad Zainal & Muhammad Faliq (September 2022)

Ikatan perkahwinan tujuh tahun pelakon Nad Zainal, 32 dan Muhammad Faliq Amiruddin terlerai sekitar September lalu.

Nad memberitahu keputusan itu dibuat selepas mereka mencapai kata sepakat namun enggan berkongsi punca dan tarikh sebenar mereka bercerai.

Meskipun sudah bercerai namun hubungan mereka kekal baik demi dua anak mereka.

Nad dan Faliq mendirikan rumah tangga pada 18 Disember 2015 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Fahad Ibrahim, 6, dan Budi Kalsom yang kini berusia setahun.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain