suria

Berat badan susut, tidak boleh menyanyi... Ibnor Riza alami tekanan tiba-tiba diserang pelbagai penyakit kronik

Ibnor mula mengetahui diserang pelbagai penyakit sejak dua bulan lalu.

PENYANYI Ibnor Riza kini berdepan dugaan apabila secara tiba-tiba diserang dengan pelbagai jenis penyakit yang mula diketahui selepas melakukan pemeriksaan doktor dua bulan lalu.

Berkongsi perkembangan itu, rakan artis iaitu Nizam Laksamana memberitahu Ibnor, 61, pada awalnya hanya mengalami bengkak pada bahagian leher kiri dan perlu menjalani pembedahan untuk membuang nanah.

"Kira-kira dua bulan lalu dia ada beritahu tentang bengkak pada bahagian leher. Selepas membuat pemeriksaan doktor mengesahkan dia menghidap pelbagai penyakit lain seperti kencing manis, darah tinggi, migrain teruk, buasir dan tahap kolesterol tinggi.

ibnor riza 2

Ibnor perlu menjalani pembedahan disebabkan bengkak di bahagian leher.

"Dia perlu menjalani pembedahan sebab ada nanah pada leher itu, tetapi doktor terpaksa tangguhkan sebab tahap kencing manis yang tinggi," katanya ketika dihubungi mStar pada Rabu.

Kerap bertanya khabar sahabatnya itu, Nizam memberitahu Ibnor mengakui berada dalam keadaan tertekan, lebih-lebih lagi sudah tidak boleh menyanyi.

Menurut Nizam, kali terakhir dia bertemu penyanyi lagu Mimpi Yang Tak Sudah itu kira-kira tiga minggu lalu dan jelas kelihatan berat badan semakin susut.

ARTIKEL BERKAITAN: Penulis ‘7 Hari Mencintaiku’ Siti Rosmizah masih di ICU akibat Covid-19 tapi tunjuk perkembangan positif

ARTIKEL BERKAITAN: Jantung terhenti, M Daud Kilau kritikal akibat paru-paru berair

"Dia memang agak stress sekarang ini. Maklumlah tiba-tiba sahaja ada masalah kesihatan. Sebelum ini dia ada mengadu tidak sedap badan tapi tak pernah pula tahu ada penyakit begitu.

"Apabila kami bercakap di telefon, suaranya juga kurang jelas. Itu menambahkan lagi tekanan sebab dia tidak boleh menyanyi. Sebagai anak seni, suaralah tempat dia bergantung mencari rezeki.

Sebelum ini dia ada mengadu tidak sedap badan tapi tak pernah pula tahu ada penyakit begitu

NIZAM LAKSAMANA

PENYANYI

"Saya pernah berjumpa Ibnor sebelum ini dan nampak jelas berat badannya semakin susut. Aktiviti harian juga agak terbatas. Dia kini sedang menjalani beberapa proses rawatan di hospital dan secara perubatan Islam," ujarnya.

Sebelum ini, beberapa orang rakan selebriti turut berkongsi perkhabaran Ibnor di laman sosial mereka dan turut memohon sumbangan bagi meringankan beban penyanyi itu ketika berdepan dengan ujian.

ibnor 4

Nizam (kiri) antara rakan artis yang selau bertanya khabar Ibnor.

"Saya tidak rasa Ibnor meminta-minta untuk dapatkan sumbangan, tetapi jika ada yang ikhlas memberi dia terima. Apabila orang ditimpa penyakit begini pastinya memerlukan wang untuk kos rawatan.

"Ibnor juga ada beberapa undangan persembahan sepanjang Januari dan Februari ini. Bagaimanapun semua itu bergantung kepada tahap kesihatannya sama ada boleh menyanyi atau tidak," jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain