TIDAK mudah bagi penyanyi Ryan Deedat meneruskan karier dalam bidang seni apabila dua insan tersayang pergi meninggalkan dirinya dalam tempoh kurang setahun. Ryan atau Sheikh Eamir Deedat, 31, berkata, dia memang hilang arah apabila ibu dan adik bongsunya pergi menghadap Ilahi yang membuatkan dia patah semangat. "Perjalanan hidup saya selepas hilang mak dan adik, saya rasa nak putus asa dan tinggalkan bidang nyanyian sebab penyokong kuat saya sudah tiada, merekalah banyak beri semangat. "Boleh dikatakan sejak ibu meninggal dunia saya jadi tertekan kerana rutin saya setiap pagi menjaga ibu sudah tiada. Rasa gelap, hilang dan semangat itu tiada," katanya kepada mStar. Ryan percaya pada rezeki selepas pemergian insan tersayang. Ryan berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta JV Craft & Gifts pada Khamis lalu. Terdahulu, adik bongsu Ryan iaitu Sharifah Nur Intan Sheifeeka meninggal dunia pada usia 25 tahun akibat barah otak pada 25 Julai 2021. Manakala ibunya, Tengku Hanasiah Tengku Zainal Mulok pula pergi menghadap Ilahi pada 20 Mac tahun lalu akibat angin ahmar pada usianya 66 tahun. ARTIKEL BERKAITAN: Diana Danielle cepat lupa kerana sindrom ADHD, perlu ada pembantu... Solat dan al-Quran cara atasi gangguan ARTIKEL BERKAITAN: “Berdiam diri lebih baik” - Aedy Ashraf tak baca komen netizen, semakin matang berdepan kontroversi Dalam pada itu, Ryan berkata, ada sebab mengapa namanya kurang menyerlah berbanding rakan seangkatannya kerana tahun lalu dia memperlahankan karier bagi menjaga ibunya yang sakit. Tiada ralat dalam hatinya, Ryan memberitahu dia tidak kisah mengenai perkara itu kerana apa lebih penting dapat melunaskan tanggungjawab dan berbakti kepada ibu ketika hayatnya. "Insya Allah 2023 saya kembali bangkit kerana percaya akan ada jalan buat saya dan rezeki itu ditentukan oleh Allah. Masih awal lagi untuk saya mendirikan rumah tangga, saya lebih fokus nak stabilkan diri dan karier saya. RYAN DEEDAT PENYANYI "Alhamdulillah berkat menjaga ibu yang sakit sebelum ini, sekarang saya ditawarkan pula menjadi duta JV Craft & Gifts," katanya. Sempena dengan pelantikannya sebagai duta itu juga, Ryan memberitahu bakal melancarkan lagu bertajuk Hantaran Raya tidak lama lagi. Mengulas mengenai pelantikkannya sebagai duta barangan hantaran, Ryan memberitahu bahawa dia masih belum ada perancangan untuk mendirikan rumah tangga. Ryan Deedat duta kepada JV Craft & Gifts. Bagaimanapun, dia mengakui sedang berkenalan rapat dengan seorang model yang tiga tahun lebih muda dari usianya. "Masih awal lagi untuk saya mendirikan rumah tangga, saya lebih fokus nak stabilkan diri dan karier saya. Kita tengok macam mana tahun depan. "Dia tiga tahun lebih muda dan kami sudah berkenalan selama setahun," kongsinya. Tambah Ryan, dia tidak menolak untuk mendirikan rumah tangga pada usianya yang muda memandangkan itu sesuatu yang bagus. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube