suria

Suki Low menangis kerana Shila Amzah… “Saya harap dia puas hati”

Suki terharu dengan kepercayaan yang diberikan Shila.

PENYANYI Suki Low meluahkan rasa terharu apabila sahabatnya iaitu Shila Amzah sudi berkongsi sebuah karya yang dijadikan lagu baharu nyanyiannya.

Meskipun sudah diberikan demo sejak setahun lalu, Suki, 34, bagaimanapun memberitahu dia baru berkesempatan membuat proses rakaman lagu berjudul Bahagia Yang Sebentar pada awal Januari lalu.

"Saya rasa sangat terharu, menitis air mata pun ada bila Shila kongsikan demo. Ia adalah sebuah lagu yang penuh dengan jiwa. Saya berbesar hati atas kepercayaan Shila untuk memberi lagu ini kepada saya.

suki 2

Suki tidak fikir panjang untuk beri kata setuju menyanyikan lagu ciptaan Shila.

"Dia sentiasa menyokong karier saya. Saya harap Shila puas hati dengan hasil akhir karya ini.

"Saya merakam lagu ini pada awal Januari lalu. Proses produksi lagu ini bermula pada November tahun lalu. Proses rakaman vokal mengambil masa tujuh jam," katanya.

Tambah Suki dia mengambil masa agak lama untuk memulakan proses rakaman selepas tamat menyertai program Gegar Vaganza musim kelapan disebabkan terlibat dengan beberapa komitmen kerja lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Emosi terganggu, Suki Low sebak atas pentas tiba-tiba teringat seseorang

ARTIKEL BERKAITAN: Shila Amzah luah kisah kegagalan cinta dan rumah tangga dalam ‘Jauh Hati’... “Sejujurnya semua hubungan saya teruk”

Berkongsi lanjut, kata Suki dia tidak melalui proses sukar sepanjang rakaman kerana sering menganggap lagu dan studio adalah tempat untuk dia meluahkan perasaan dan berkongsi dengan peminat.

"Saya terima demo lagu ini daripada Shila sehari selepas GV8 berakhir, tapi baru sempat nak rakam pada awal Januari lalu.

"Lagu ini mengisahkan kehilangan dan fasa kedukaan. Ia juga berkaitan perasaan marah, depresi dan akhirnya tentang penerimaan. Ia sebuah lagu cinta yang penuh emosi.

Ia adalah sebuah lagu yang penuh dengan jiwa. Saya berbesar hati atas kepercayaan Shila untuk memberi lagu ini kepada saya

SUKI LOW

PENYANYI

"Seronok merakamkan lagu ini. Bagi saya studio juga adalah tempat mengekspresi segala emosi dan kreativiti, sama ada sebagai penyanyi atau tenaga kerja produksi," ujarnya.

Bercakap tentang perancangan kerjaya seni, Suki berharap tahun ini dia dapat mengatur langkah selepas agak lama menyepi sebelum namanya kembali menjadi sebutan ketika menyertai GV8.

suki 3

Suki semakin rancak mengatur langkah dalam dunia seni.

"Saya berasa lebih berkeyakinan dan niat untuk berkarya dengan lebih tekad. Untuk tahun ini, saya nak beri lebih tumpuan pada muzik.

"Kalau ada rezeki untuk berlakon, saya juga bersedia untuk mencuba," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain