suria

Sakit-sakit pun nak kerja... Azhan Rani terkejut Fasha nak sambung berlakon, takut susahkan kru - “Mujur produksi tangguhkan babak”

Azhan tidak dapat mengawal perkara yang berlaku.

PELAKON Azhan Rani menjelaskan dia dan aktres Fasha Sandha sudah melakukan latihan untuk babak pergaduhan drama Anak Tuan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Bagaimanapun kata Azhan atau Azhan Abdul Rani, 47, kemalangan yang berlaku adalah diluar kawalan semua pihak dan ia berlaku tanpa disengajakan.

"Tidak banyak yang boleh saya katakan sebab perkara sudah terjadi. Tiada siapa yang mahukan kemalangan seperti ini berlaku.

azhan2 - 1

Azhan tampil beri kenyataan tentang insiden yang berlaku.

"Pihak produksi masing-masing sudah sedaya upaya mengelakkan sebarang kecederaan. Sesi latihan pun sudah kami lakukan.

"Segalanya hanya teknik sahaja tetapi kalau sudah tertulis, itulah suratan," katanya.

Azhan berkongsi mengenai perkara itu menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Babak bersama Azhan Rani bertukar tragedi, tulang mata kiri Fasha Sandha patah terhentak bucu katil

ARTIKEL BERKAITAN: Motosikal ditunggang tiba-tiba pecut langgar kereta, Noorkhiriah alami lebam dan tisu koyak

Pada Rabu lalu, Fasha mengalami kecederaan di bahagian mata kirinya selepas kepalanya terhentak di bucu katil ketika menjayakan babak bersama Azhan.

Akibat hentakan itu, tulang mata kirinya patah manakala bebola mata bengkak dan mengalami pendarahan.

Bagaimanapun Fasha tidak menyalahkan mana-mana pihak akibat kejadian itu dan menganggap ia sebagai kemalangan.

Bimbang dengan keadaan rakannya itu, Azhan berkata, dia sudah pun menghubungi Fasha namun bangga dengan semangat dan komitmennya terhadap kerja meskipun sedang sakit.

Malah dedah Azhan, Fasha turut meminta maaf kerana bimbang kejadian yang berlaku akan melambatkan proses penggambaran.

"Fasha sangat komited dan saya tahu dia sangat sayang dengan wataknya itu. Dia jatuh terkena bucu katil, dia yang minta maaf sebab takut lambatkan penggambaran.

"Semalam di hospital sewaktu menghubunginya dia minta saya stay sebab nak sambung penggambaran hari ini. Mujur produksi tangguhkan babak Fasha sampai dia betul-betul sembuh," jelasnya.

azhan1 - 1

Azhan mohon beri ruang untuk Fasha berehat.

Berkongsi keadaan terkini Fasha, Azhan memberitahu dia dinasihatkan untuk tidak terdedah kepada cahaya selain perlu berehat secukupnya.

"Doktor pun nasihat jangan terlalu terdedah dengan cahaya. Jadi, berilah dia ruang rehat secukupnya.

"Nanti asyik kena tengok telefon, mata dia tak dapat nak rehat pula. Insya Allah nanti dia sembuh, banyak lagi boleh tanya dia," katanya

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain