suria

Khai Bahar ajar diri kongsi rezeki dengan golongan kurang bernasib baik, hidup pernah susah sebelum jadi penyanyi

Khai Bahar bakal buka puasa bersama anak yatim dan miskin Raudatul Al Faeez.

PENYANYI Khai Bahar sememangnya terkenal akan sikap prihatin terhadap insan memerlukan terutama golongan kanak-kanak malah sering terlibat dengan beberapa kerja kebajikan.

Khai atau Muhammad Khairul, 29, berkata, dia tersentuh apabila mendekati kanak-kanak yang kurang berkemampuan sekali gus mengimbau kenangan sebelum bergelar penyanyi.

"Saya teringat diri sendiri yang bukannya datang daripada keluarga senang. Jadi, dengan rezeki yang saya dapat, saya mahu kongsi dengan insan memerlukan.

Khai Bahar bersama Roslan Shah.

"Rezeki ini bukan milik saya sepenuhnya, ia juga hasil daripada orang yang mendoakan saya. Dalam rezeki saya, ada bahagian orang lain juga.

"Saya selalu tanam dalam fikiran untuk cuba sedaya upaya membahagiakan mereka. Apa yang mereka rasa, tidak sama dengan orang lain dan nasib mereka berbeza," katanya.

Khai berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis sidang media Majlis Buka Puasa bersama Khai Bahar yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya ni jenis cepat mesra”... Khai Bahar sudah hubungi wanita dakwa dipermainkan perasaan, selesai cara baik

ARTIKEL BERKAITAN: Belum ada rezeki menang AJL, Khai Bahar tak putus asa... Rancang bawa kelainan tampil bersama band

Menurut Khai, untuk melakukan kebaikan tidak semestinya perlu menggunakan wang ringgit namun boleh dilakukan dengan menyebarkan kesedaran kepada orang ramai tentang golongan kurang kemampuan.

"Untuk buat kebaikan tidak perlu bayaran daripada orang lain. Ia boleh dilakukan dengan pelbagai cara secara percuma.

"Kalau tidak mampu beri bantuan dalam bentuk kewangan, kita boleh bantu dalam pelbagai cara seperti memupuk kesedaran awam untuk terus berbuat baik.

Saya tidak mahu kira sebab untuk buat baik, tidak perlu diukur dengan jumlah.

KHAI BAHAR

PENYANYI

"Sebenarnya, sudah beberapa kali saya jayakan program seperti ini. Tetapi, kalau boleh, saya tidak mahu kira sebab untuk buat baik, tidak perlu diukur dengan jumlah," katanya lagi.

Untuk Ramadan kali ini, Khai Bahar bekerjasama dengan penganjur, Xutfilm Studio memilih Raudhatul Al Faeez yang dihuni oleh anak asnaf, yatim piatu dan miskin seramai 30 orang berdasarkan keistimewaan dan kisah duka disebalik rumah kebajikan ini.

Menurut pengasas rumah kebajikan ini, Zahrina Saat, penempatan anak-anaknya itu ditubuhkan pada 17 Julai 2010, di Gombak, Selangor, namun ditimpa musibah kebakaran dan kini menetap sementara di rumah teres di Taman Lembah Keramat, Kuala Lumpur.

WhatsApp-Image-2023-03-16-at-3.53.04-PM

Khai Bahar bersama penganjur majlis dan pengasas rumah kebajikan.

Sementara itu, Pengurus Projek mewakili Xutfilm Studio, Shahriz Taher memberitahu program dirancang bertujuan menggalakkan orang ramai mengambil peluang meraikan insan kurang bernasib baik.

"Objektif program ini adalah untuk mengajak orang ramai mengumpul pahala dan sama-sama memberi sedekah kepada anak yatim. Saya dan pasukan tertarik dengan rumah kebajikan, Raudhatul Al Faeez kerana tersentuh hati apabila berada di situ.

"Apatah lagi, premis mereka sebelum ini pernah terbakar. Jadi, masanya sangat tepat untuk kami hulurkan bantuan," katanya.

Majlis bakal berlangsung pada 24 Ramadan, bermula jam 5.30 petang di Grand Barakah Hotel serta akan dimulakan dengan bacaan Al-Quran, disusuli laungan azan oleh anak dari rumah Raudhatul Al Faeez.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain