suria

Naim Daniel seronok tengok kemunculan ramai bakat baharu, tidak pernah anggap diri sudah senior

Naim tidak merasakan dirinya bagus.

KEHADIRAN bakat baharu dalam industri hiburan tidak pernah menjadikan pelakon dan penyanyi Naim Daniel berasa bangga diri dengan pengalaman yang dimiliki sepanjang 19 tahun bergelar anak seni.

Kata Naim atau Muhammad Naim Daniel Baharin, 26, dia teruja apabila dapat bekerjasama dengan beberapa orang pendatang baharu antaranya Mierul Aiman dan Amir Ahnaf yang dicungkil bakatnya menerusi program realiti televisyen.

naim11 - 1

Naim ketika ditemui di majlis berbuka puasa.

"Sesetengah orang mungkin dia merasakan dirinya senior, tetapi saya tidak mahu jadi begitu. Saya selalu berdoa supaya tidak berasa diri ini bagus dalam industri.

"Saya perlu sentiasa cuba untuk menerima perubahan atau pendekatan baharu. Kita tahu program pencarian bakat remaja adalah satu platform yang bagus, sentiasa mencungkil bakat-bakat baharu.

"Lihat apa yang terjadi pada Mierul Aiman. Orang sebelum ini mungkin tidak berapa mengenalinya sebagai seorang juara program realiti, tetapi sekarang orang sudah nampak bakat yang dia ada," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: "Dilacur bagai satu mainan" - Naim Daniel kecewa ramai tonton 'Projek High Council' secara haram di media sosial

ARTIKEL BERKAITAN: Berjaya nyanyi secara terbalik di AJL37, Naim Daniel terima pengiktirafan 'Malaysia Book of Records'

Naim berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama artis dibawah naungan World Peace Entertainment yang diadakan di The Strand Mall, Kota Damansara pada Rabu.

Dalam pada itu, Naim turut berpendapat bahawa bakat-bakat baharu ini sewajarnya diberikan lebih banyak peluang dan bukan hanya dikenali menerusi beberapa drama atau filem sahaja.

Malah, Naim melihat kehadiran bakat baharu ini merupakan satu bentuk persaingan sihat dan tanda positif untuk industri hiburan tanah air.

Sesetengah orang mungkin dia merasakan dirinya senior, tetapi saya tidak mahu jadi begitu.

NAIM DANIEL

PELAKON/PENYANYI

"Kita kena buang stigma di mana bakat-bakat begini hanya ‘menjadi’ dalam satu dua projek dan kemudiannya hilang.

"Mereka perlu buktikan dan kita juga perlu beri ruang sebagaimana saya sendiri bagi ruang untuk diri saya belajar perkara baharu terutamanya lambakan pempengaruh media sosial. Kita perlu terima.

"Siapa tak boleh terima, dia kalah tau. Bagi saya, ia adalah satu persaingan yang sihat. Tak guna kalau kita saja rasa kita seorang yang bagus, tapi sebenarnya kita tak tengok lagi dunia luar. Jadi kita rugilah," ujarnya.

Pelakon drama Lelaki Lingkungan Cinta juga sempat memberikan nasihat kepada pendatang baharu untuk kekal berada dalam industri hiburan.

"Benda-benda yang 'one hit wonders' ni pun sebenarnya pelajaran juga. Kita tak nak tengok mereka ni seperti angin lalu, walaupun mereka pernah datang dengan naskhah yang power tiba-tiba senyap.

naim2 - 1

Naim sinonim dengan watak Ayam dalam Projek High Council.

"Tapi kita belajar daripada situ apa yang boleh kita perbaiki. Mungkin daripada segi attitude kita, bukan saja dengan peminat, tetapi dengan pihak media pun. Tak rugi pun kalau kita sentiasa belajar," katanya.

Untuk rekod, Naim bergandingan bersama Mierul dan Amir dalam drama Projek High Council yang turut dibintangi barisan pelakon hebat termasuk Nadhir Nasar, Daiyan Trisha, Azhar Sulaiman, Yusof Hashim dan ramai lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain