TAMPIL dengan imej baharu, penyampai radio Suria FM iaitu DJ Lin mengesahkan dirinya kini sudah berhijab penuh. Kata DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, 48, beberapa kejadian yang berlaku baru-baru ini membuatkan dia tersedar dan mula terbuka hati untuk bertudung. "Saya rasa apa yang terjadi dalam kehidupan saya, terutamanya selepas mak saya meninggal dunia dan ditambah pula dengan dengan kehilangan abang kandung saya... itu yang betul-betul membuatkan saya tersentak. DJ Lin akui kini hidupnya rasa lebih tenang. "Iyalah saya fikir makin lama umur kita semakin meningkat dan umur saya pun dah masuk 48 tahun. "Abang pertama saya meninggal dunia pada umur 51 tahun. Jadi saya rasa mungkin kali ini Allah nak berikan saya kesedaran agar saya berubah demi kebaikan," katanya kepada mStar. DJ Lin berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Melakar Pahala Warnai Raya bersama Suria FM yang diadakan di Hotel Eastin, Petaling Jaya, Selangor pada malam Rabu. ARTIKEL BERKAITAN: Kehidupan DJ Lin sudah sempurna, tak terfikir jadi isteri kedua semata-mata mahu kembali berumah tangga ARTIKEL BERKAITAN: Selesai solat tarawih di Tanah Suci, DJ Lin terima berita abang meninggal dunia... Sedih tak dapat tatap kali terakhir Dalam pada itu, DJ Lin juga memberitahu dia sudah lama terfikir untuk menutup aurat, namun masih tidak berjaya melakukannya. Bagaimanapun sewaktu mengerjakan umrah pada 23 Mac lalu, dia mula berasa selesa mengenakan hijab dan mengambil keputusan untuk terus menutup aurat sepenuhnya. "Sebenarnya sudah beberapa kali saya terfikir untuk menutup aurat sepenuhnya, tetapi tak tahu kenapa lambat untuk saya buat keputusan ini. Selepas mak saya meninggal dunia dan ditambah pula dengan dengan kehilangan abang kandung saya. Itu yang betul-betul membuatkan saya tersentak. DJ LIN Penyampai radio "Di sana saya rasa sangat tenang. Tak ada rasa panas. Kalau ikutkan waktu itu di Makkah sangat panas dengan jutaan jemaah mengerjakan umrah. "Walaupun kita dengan tudung labuh, berjubah dan memakai stokin tangan, tapi saya rasa sangat selesa," ujarnya. Mengulas lanjut tentang penghijrahannya itu, DJ Lin berkongsi anak-anaknya antara individu yang paling gembira apabila mendapat tahu dia kini sudah berhijab. Kata DJ Lin, anak-anak sentiasa berdoa dan mengharapkan dirinya berubah untuk menutup aurat sepenuhnya. "Untuk pengetahuan, anak-anak saya sendiri dah lama mengharapkan ibunya ini bertudung. Jadi saya rasa mungkin inilah yang patut saya lakukan. "Bila sampai dari Makkah, saya terus balik ke Johor dan menutup aurat. Anak saya bertanya ibu memang pakai macam ni sekejap je ke atau bagaimana? "Saya cakap insyaAllah saya nak cuba, kita jangan paksa diri sebab saya tak mahu buat apa-apa sebab atas paksaan orang. Biar saya buat atas kehendak saya sendiri," katanya. DJ Lin sewaktu mengejarkan umrah. Pada 27 Mac lalu, DJ Lin memaklumkan berita duka apabila abangnya, Mohd Yusof Abd Majid menghembuskan nafas terakhir ketika dia berada di Tanah Suci untuk menunaikan umrah. Semasa menerima khabar itu, DJ Lin sedang berada di Madinah dan baharu selesai menunaikan solat tarawih. Sebelum itu, ibunya iaitu Puteh Jantan menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Larkin Jaya, Johor Bahru pada 24 Jun 2022. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!