suria

Abang motor mulanya enggan tumpangkan Nabila Razali akhirnya melimpah rezeki... Terkejut dapat hadiah baju Melayu dan duit raya

Zakir (kanan) terkejut menerima hadiah daripada Nabila.

BUAT baik dibalas baik.

Itulah yang boleh diumpamakan perbuatan seorang penunggang motosikal yang menumpangkan penyanyi Nabila Razali kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ketika dalam perjalanan menghadiri sebuah acara di Kuala Lumpur pada malam Ahad lalu.

Terharu dengan sikap prihatin pemuda itu, Nabila berbesar hati menghadiahkan sepasang baju Melayu berserta sampul berisi duit raya sebagai tanda terima kasih kepada Ahmad Zakir Zainuddin atas bantuan diberikan.

Zakir, 29, berkata, dia tidak mengharapkan sebarang balasan namun terkejut apabila dihubungi Nabila yang meminta alamatnya kerana dia ingin menghantar hadiah kepada saya.

nabila razali 2

Video Zakir menumpangkan Nabila tular di media sosial.

"Selepas hantar Nabila dia ada minta nombor telefon, mulanya saya pun pelik juga... sehari kemudian dia hubungi minta alamat. Tak sangka pula Nabila nak hantar hadiah.

"Saya tolong ikhlas dan bukannya mengharapkan balasan. Apabila saya terima bungkusan tersebut, saya terkejut sebab banyak juga duit raya yang diberikan," katanya ketika dihubungi mStar pada petang Selasa.

Bercerita kejadian ditahan Nabila, Zakir berkata, pada awalnya dia menyangka kenderaan penyanyi itu mengalami kerosakan dan mengambil keputusan untuk berhenti kerana ingin menghulurkan bantuan.

ARTIKEL BERKAITAN: Terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, Nabila Razali tahan penunggang motosikal tumpang ke lokasi show

ARTIKEL BERKAITAN: Nabila Razali mengaku silap pakai baju ketat di AJL37, netizen berhak tegur... “Maaf kalau mengganggu sesiapa”

Zakir yang dalam perjalanan pulang ke rumah dari majlis berbuka puasa berkata, dia terkejut apabila Nabila meminta bantuannya menghantarnya ke lokasi dituju memandangkan jalan raya yang begitu sesak.

"Dari kejauhan saya nampak ada tangan melambai dari dalam kereta. Saya berhenti sebab sangka kenderaan itu rosak... rupa-rupanya Nabila Razali minta tumpang sebab dia sudah lambat menghadiri sebuah acara.

"Saya pada awalnya tolak permintaan Nabila membonceng motosikal saya kerana motor kecil namun pengurusnya tetap meminta bantuan dan saya setuju. Jaraknya tidaklah jauh, hanya lebih kurang satu kilometer sahaja.

Saya takut nak jadi popular. Harap orang lupa kisah ini. Biarlah saya sahaja yang ingat

AHMAD ZAKIR

"Kata Nabila dia sudah menahan beberapa motosikal lain namun tidak ada yang berhenti," ceritanya.

Sejak Isnin, video memperlihatkan Nabila yang memakai baju kurung membonceng sebuah motosikal tular di laman sosial sehingga ramai meluahkan rasa cemburu dan menyifatkan lelaki itu bertuah.

Kejadian berlaku di Jalan Ipoh ketika Nabila dalam perjalanan ke Absolut Bazaar x Festival Gaya Raya 2023 yang diadakan di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) Kuala Lumpur.

Sementara itu, Zakir berkata, dia berasa segan apabila kisahnya membantu Nabila menjadi isu sensasi dan bualan ramai.

nabila razali 3

Nabila menghadiahkan sepasang baju Melayu untuk Zakir.

Meskipun teruja bertemu selebriti popular namun dia berharap orang ramai akan melupakan kejadian itu tidak lama lagi.

"Memanglah teruja dapat jumpa artis. Walaupun dalam video yang tular itu tidak nampak muka saya, tapi ramai orang yang sudah mula bercakap.

"Saya takut nak jadi popular. Harap orang lupa kisah ini. Biarlah saya sahaja yang ingat," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain