suria

Sampai Malaysia terus cari nasi ayam Ipoh, Michelle Yeoh kota janji bawa pulang trofi Oscar 

Michelle bersama trofi Oscar kemenangannya. Foto IZZRAFIQ ALIAS

BINTANG Hollywood Tan Sri Michelle Yeoh melahirkan rasa terharu dengan sokongan rakyat Malaysia ketika dia memenangi Anugerah Oscar bulan lalu.

Michelle atau Michelle Yeoh Choo Keng, 61, berkata, meskipun jarak memisahkan namun dia tetap merasai kasih sayang dan sokongan peminat yang sentiasa ada dalam perjalanan karier lakonannya di Amerika Syarikat.

"Saya dengar jeritan kegembiraan, terima kasih kepada anda semua. Anda ada dalam perjalanan ini bersama saya... saya merasai kekuatan dan sokongan anda semua," katanya dalam penuh emosi.

Michelle berkongsi perasaannya itu ketika muncul buat pertama kali dalam sidang media di Kuala Lumpur selepas kemenangan bersejarahnya di Anugerah Oscar kali ke-95 pada 1`2 Mac lalu.

file7ptpo1plnwi5c3ptfpi

Michelle sampai di Malaysia pada Isnin.

Acara yang disertai wartawan dalam dan luar negara itu diadakan di Hotel Pavilion Kuala Lumpur.

Michelle juga akan bertemu peminatnya menerusi acara Pride of Malaysia Michelle Yeoh Homecoming Public Fan Meet pada pukul 5.30 petang di Centre Court Pavilion Kuala Lumpur.

"Saya tidak pernah melihat sebanyak ini (media) di tempat yang sama. Harap anda dapat bertemu dengan 'my little man'," katanya.

Little Man dimaksudkan adalah merujuk kepada trofi Oscar dimenanginya menerusi kategori Pelakon Wanita Terbaik filem Everything Everywhere All At Once.

ARTIKEL BERKAITAN: Trofi Pelakon Wanita Terbaik milik Michelle Yeoh, cipta sejarah rakyat Malaysia pertama menang Oscar

ARTIKEL BERKAITAN: Michelle Yeoh tunai janji, bawa pulang trofi Oscar 18 April ini

Dalam pada itu, Michelle memberitahu dia teruja dapat kembali ke Malaysia apatah lagi dapat merasai pelbagai juadah kegemaran yang sudah lama tidak dinikmatinya.

Ceritanya, setibanya di negara ini Isnin lalu, Michelle berkata, dia sudah menikmati semua makanan kegemarannya iaitu nasi lemak, horfun dan nasi ayam Ipoh.

"Sebab inilah saya nampak berisi," katanya.

Michelle berkata, membesar dalam suasana masyarakat berbilang kaum di Malaysia turut membantu dia membentuk siapa dirinya hari ini.

file7ptpnuh34077ejwvfpi

Michelle rakyat Malaysia pertama memenangi Anugerah Oscar.

Kata Michelle, itu membuatkan penduduk di negara ini berbeza apatah lagi masing-masing saling menghormati antara satu sama lain.

"Saya rasa ini adalah asas yang menjadikan saya seorang global... Ke mana sahaja saya pergi, saya tidak lihat perbezaan tetapi apa saya boleh belajar daripada mereka.

"Sebab di Malaysia, kita belajar daripada kawan Melayu, India dan Cina. Ia sangat indah," katanya.

Bercerita perkembangan terbaharunya, Michelle berkata, dia kini sedang sibuk dengan penggambaran filem Wicked di London namun mencuri masa pulang ke tanah air memandangkan sudah berjanji dengan ibunya, Datin Janet Yeoh.

file7ptpo7d5jbc14b64jfpj

Michelle turut meluangkan masa bertemu peminat di Pavilion.

Katanya, hari jadi ibunya jatuh pada Rabu dan sudah merangka pelan untuk menyambutnya malam ini.

"Saya pulang kali ini disebabkan sudah berjanji dengan ibu untuk meraikan hari jadinya. Maklum sahaja, sejak pandemik belaku, kami tidak dapat meraikan hari jadinya.

"Kali ini kami akan adakan parti paling meriah buatnya," katanya yang akan kembali ke Malaysia pada Julai atau Ogos depan.

Menerusi kemenangan di Anugerah Oscar, Michelle bukan sahaja rakyat Malaysia pertama menerima trofi tersebut tetapi mewakili Asia.

Artikel Lain