suria

Siti Fairuz kembali bergelar isteri, selamat bernikah usahawan berusia 72 tahun... “Dia peminat setia sejak dulu”

Siti Fairuz syukur sudah tidak kesunyian lagi.

MENGAMBIL barakah bulan Ramadan, penyanyi Datuk Siti Fairuz kembali bergelar isteri kepada usahawan, Syed Mohamed Syed Ismail, 72, pada Selasa.

Fairuz atau nama sebenar Siti Fairuz Sheikh Mohamad, 59, berkata dia dan suami berkenalan sejak enam bulan lalu dan hubungan itu bermula sebagai penyanyi dan peminat.

Selepas mengenali hati budi masing-masing, Fairuz berkata beberapa persamaan membuatkan dia terbuka untuk kembali berumah tangga.

Fairuz dan suami, Syed Mohamed nikah pada 18 April.

"Kami berkenalan lebih kurang enam bulan lepas, kami tak merancang apa-apa pun. Dia peminat setia saya sejak dari dulu lagi.

"Saya pun layan dia macam peminat, dari situlah kami mula berkenalan. Kami pula banyak persamaan, dia pula ada ciri-ciri bakal imam yang saya nak dan hampir semua ada pada dia.

"Daripada situlah Allah buka hati untuk berkahwin, kalau ikutkan saya tak mahu kahwin dah. Mungkin dah sampai jodoh," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Persetujuan Tuntutan Harta Sepencarian Siti Fairuz 13 Disember

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya Masih Boleh Menyanyi" - Siti Fairuz

Berkongsi mengenai pernikahannya itu, Fairuz memberitahu dia dan suami memilih bulan Ramadan agar perkahwinan kali ini lebih barakah dan hanya melaksanakan perkara yang wajib terlebih dahulu.

Malah Fairuz bersyukur apabila anak-anak mereka merestui hubungan itu.

"Kami selamat disatukan pada 18 April lalu di Jabatan Agama Islam Kuantan, Pahang dengan mas kahwin RM22.50. Untuk hantaran semua biar kami berdua sahaja yang tahu.

"Kami memilih untuk bernikah di bulan Ramadan sebab nak ambil berkat bulan Ramadan. Saya juga bersyukur apabila anak-anak kami menerima baik keputusan kami," katanya lagi.

Seronok rasanya, seorang diri dengan berdua lebih seronok berdua bukan?

DATUK SITI FAIRUZ

PENYANYI

Sementara itu, penyanyi yang terkenal menerusi lagu Bila Ku Rindu Sebut Nama Mu ini memberitahu mereka merancang untuk mengadakan majlis resepsi selepas Hari Raya Aidilfitri.

"Majlis InsyaAllah kami akan buat selepas ini tapi kami percepatkan pernikahan ini untuk memudahkan kami bergerak bersama-sama.

"Mengenai bulan madu, kami tak merancang memandangkan masing-masing sibuk dengan perniagaan. Jadi kalau ada kesempatan InsyaAllah kami akan pergi berbulan madu tapi bukan dalam masa terdekat ini," kongsinya.

Dalam pada itu, Fairuz memberitahu dia teruja dan sudah tidak sunyi lagi selepas kehadiran suaminya itu selain akan lebih memberi perhatian terhadap perkahwinannya.

Fairuz seronok kembali hidup berdua.

"Seronok rasanya, seorang diri dengan berdua lebih seronok berdua bukan? Kami pula berkahwin di usia yang sudah matang InsyaAllah masalah dah kurang.

"Saya juga akan lebih memberi perhatian kepada perkahwinan kali ini," ujarnya.

Untuk rekod, Fairuz sebelum ini pernah berkahwin dengan Mohamad Zainudin pada tahun 1988 dan berpisah pada Julai 2008.

Hasil perkahwinan tersebut dia dikurniakan lima orang cahaya mata iaitu Farhanah Afifah, Farahiah Amirah, Fadhli Asyraf, Fariz Afiq dan Fakhri Aiman.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain