suria

Mael infak lot tanah tahfiz dan masjid... Pekerti baik vokalis XPDC dikongsi Ustaz Syazwan

Gambar kenangan Syazwan bersama Mael.

SEJAK pemergian vokalis kumpulan XPDC iaitu Mael pergi menghadap Illahi pada 27 April lalu, satu persatu kebaikan Allahyarham diceritakan oleh para sahabatnya.

Ramai pihak menyifatkan Allahyarham Mael atau Syed Ismail Syed Ibrahim, 55, seorang yang menghormati orang lain, lemah lembut sikapnya selain suka bersedekah kepada golongan kurang berkemampuan.

Salah seorang sahabat baiknya, pendakwah bebas Syazwan Jaafar menerusi ceramah di Surau Menara TM pada 2 Mei lalu mendedahkan Mael pernah menginfak dua buah lot tanah untuk membina pusat tahfiz dan masjid selain banyak membantu keluarga susah yang tidak pernah diceritakan sebelum ini.

Syazwan berkongsi sikap baik Mael.

"Peribadi saya kenal dia, beberapa program ceramah ada bawa dia, pada zahirnya dia sangat baik.

"Allah muliakan dia meninggal dunia pada malam Jumaat, selepas habis program Ramadan sebulan, sempat raya dengan keluarga dan Allah angkat (darjat) dia.

"Antara kebaikan dia hari ini keluar macam-macam, selama dia hidup dia tak pernah cerita pun. Infak lot pusat tahfiz, infak tanah untuk bina masjid yang luar biasa," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Vokalis XPDC Mael meninggal dunia akibat sesak nafas

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Ucapan raya mesej terakhir Mael buat anggota XPDC, sepatutnya berkumpul buat persembahan minggu depan

Dedah Syazwan lagi, Mael disifatkan sebagai seorang yang merendah diri selain tidak mahu dilayan seperti VIP malah sanggup menginap di sebuah inap desa berbanding hotel lima bintang ketika mereka terlibat dalam sebuah program beberapa tahun lalu.

Mengimbau kenangan bersama Mael, Syazwan berkata, Allahyarham sebenarnya sudah lama menderita sakit malah dia masih ingat ketika penyanyi itu hadir ke Program Bicara Santai Selebriti di Felda Panching Timur, Kuantan, Pahang pada 2017, dia mengadu sakit pada bahagian perut.

Kata Syazwan, arwah sedaya upaya menyembunyikan kesakitan dialami dan tetap meneruskan komitmen demi menyantuni hadirin yang dapat ke program tersebut.

"Dia sampai-sampai mengadu sakit. Dia pegang perut. Dia cakap ustaz saya tak tahu la tiba-tiba jadi macam ni. Dia gagahkan jugalah demi program.

"Bila dia duduk di pentas, dia sorok sakit dia tu.

"Dia layan orang dengan baik. Tapi kejap-kejap dia pegang perut dia. Dia lindungi sakit dia demi peminat dan kerja," katanya.

xx

Mael tetap komited dalam menjalankan tanggungjawab bekerja.

Selepas tamat program, Syazwan berkata, ramai peminat yang mahu mengambil gambar bersama Mael namun penyanyi lagu Hijau Bumit Tuhan itu tidak mampu untuk melayani semua penonton yang hadir.

Syazwan yang terus membawa Mael ke Hospital Kuantan namun dalam perjalanan penyanyi itu tidak mahu ke hospital kerana bimbang akan ditahan di wad.

"Habis saja program, ramai nak ambil gambar dengan dia. Ambil gambar pun sambil pegang perut dan kami terpaksa bawa dia lari. Dia hampir pengsan dan malam tu saya bawa dia pergi ke Hospital Kuantan.

"Tapi dalam nak dia cakap ayah nak balik homestay dia tak nak pergi hospital sebab takut kena tahan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Syazwan memberitahu keadaan Mael semakin pulih selepas mengambil pil tahan sakit dan dia meluahkan rasa kesal kerana tidak dapat melayani peminatnya pada malam program tersebut.

Kata Syazwan, Mael memintanya untuk membawa dia ke tapak ekspo itu semula keesokkan harinya bagi bertemu dengan peniaga-peniaga di sana.

"Program kami pada malam itu turut diadakan bersama sebuah ekspo yang dijalankan serentak. Kata Mael dia tidak sempat untuk berjumpa dengan orang ramai.

"Dia rasa dia balik macam tu tak sempat nak salam dengan mereka. Dia minta saya untuk patah balik ke tempat program.

"Dia salam seorang demi seorang sambil minta maaf sebab semalam tak dapat jumpa," katanya.

Pada 27 April, Mael menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Fatimah, Muar, Johor sekitar pukul 9.30 malam.

Sebelum itu, Mael dikejarkan ke hospital akibat sesak nafas pada lewat petang hari sama sebelum disahkan meninggal dunia.

aaaaa

Pemergian Mael disifatkan satu kehilangan besar buat industri hiburan.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri Batu 6, Muar pada pagi Jumaat lalu.

Untuk rekod, Mael adalah salah seorang pengasas kumpulan XPDC pada 1985 yang menggunakan nama Tragedy bersama Izo yang bertindak sebagai gitaris.

Bagaimanapun pada 1997, Mael membuat keputusan mengundurkan diri daripada kumpulan tersebut.

Album terakhir Mael bersama XPDC berjudul Brutal yang dilancarkan pada tahun sama terjual melebihi 350,000 dan ia album paling laris kumpulan itu sehingga kini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain