suria

Kontroversi ‘Perempuan Itu’ ada hikmah, Mimi Lana belajar tentang ilmu agama dan martabat wanita

Mimi teruja Perempuan Itu bakal bertemu peminat pada 1 Jun nanti.

PELAKON Mimi Lana meluahkan rasa lega apabila drama lakonannya Perempuan Itu akhirnya bakal menemui penonton pada 1 Jun ini meskipun naskhah itu terpalit pelbagai kontroversi sebelum ini.

Mimi atau Mimi Roziana Zainal Abidin, 28, berkata, di sebalik kekecohan itu dia sebenarnya dapat mempelajari pelbagai perkara sepanjang terlibat dalam penggambaran drama itu termasuk tentang martabat seorang wanita.

"Selama saya menjalani pengambaran drama ini, saya sendiri banyak belajar hal-hal baru tentang ilmu agama, hak-hak sebagai seorang wanita di dalam sesebuah rumah tangga.

"Paling penting adalah tentang martabat dan tanggungjawab sebagai seorang wanita untuk hidup di dunia ini," katanya.

Mimi berharap penonton turut mendapat belajar sesuatu daripada kisah dipaparkan dalam Perempuan Itu.

Mimi berkongsi perkara itu menerusi akaun Instagram miliknya yang turut memuat naik beberapa babak lakonannya bersama aktor Zul Ariffin di dalam drama Perempuan Itu yang bakal disiarkan menerusi platform Tonton.

Pelakon itu turut berkongsi salah satu babak dirinya yang lengkap bertelekung mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran.

ARTIKEL BERKAITAN: Erma Fatima tak mahu jadi syaitan bertopengkan manusia, ambil tanggungjawab kontroversi melanda ‘Perempuan Itu’

ARTIKEL BERKAITAN: “Tiada malaikat atau syaitan”... Erma Fatima tanya Zul Ariffin ‘siapa suruh muat naik video itu?’

Dalam pada itu, Mimi berharap penonton dapat belajar sesuatu daripada drama berkenaan memandangkan ia sarat dengan pengajaran dan teladan.

Malah Mimi turut meluakan rasa sayang dengan semua pelakon dan krew terlibat dalam penggambaran drama tersebut.

"Saya berharap penonton yang akan menonton drama ini juga sedikit sebanyak dapat mafaat dari isi sebenar yang ingin disampaikan... Yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan.

Mimi belajar tentang martabat seorang wanita ketika menjalani penggambaran drama tersebut.

"Saya sangat sayangkan karya ini kerana isinya yang penuh dengan pengajaran dan teladan. Saya juga sangat sangat sayangkan setiap satu orang yang terlibat di dalam karya ini.

"Saya harap semua orang dapat bersedia dan menerima dengan hati yang terbuka sebelum menonton. Yang baik Itu datang dari Allah SWT, dan yang buruk itu datang dari kami semua... Bismillahirrahmanirrahim dan Selamat menonton!" ujarnya.

Sebelum ini, drama berkenaan menjadi buah mulut ramai apabila aktor Zul Ariffin memuat naik babak panas lakonannya di media sosial miliknya.

Zul mengaku bersalah atas tuduhan memuat naik hantaran bersifat sumbang di Instagram miliknya.

Menerusi video tersebut, Zul dilihat mendukung aktres Siti Hariesa dari bahagian depan yang dianggap keterlaluan dan tidak sesuai untuk tayangan masyarakat di negara ini.

Akibat perbuatan tersebut, Zul dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang atas tuduhan memuat naik kandungan bersifat sumbang di media sosial miliknya.

Zul mengaku bersalah atas tuduhan tersebut dan didenda sebanyak RM30,000.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain