suria

Tiket konsert D'Masiv licin, Nabila Huda tambah hari kedua... paling best Giring jadi penyanyi jemputan

Konsert D'Masiv tambah satu hari lagi di Malaysia selepas dapat sambutan hangat dari peminat.

TIKET konsert kumpulan popular Indonesia D'Masiv yang bakal berlangsung pada 2 Jun ini mendapat sambutan hangat peminat apabila ia habis terjual dalam tempoh 48 jam.

Susulan itu, penganjurnya yang juga aktres Nabila Huda mengambil keputusan menambah sehari lagi konsert D'Masiv Road To The World pada 3 Jun 2023 agar memberi peluang kepada peminat yang tidak dapat membeli tiket menghadirinya.

“Alhamdulillah, tiket Konsert D’Masiv Road To The World malam pertama licin dalam tempoh 48 jam, baru-baru ini.

“Sambutan hangat peminat D’Masiv untuk konsert pada malam pertama mencetuskan idea kepada Neptunes Presents dan D’Masiv untuk menambah satu malam lagi.

Dmasiv 2

Tiket laris dalam tempoh 48 jam.

"Diharap pertambahan hari konsert ini memberi peluang kepada peminat menyaksikan konsert yang julung kali diadakan di Kuala Lumpur," katanya menerusi kenyataan kepada mStar.

Dalam pada itu, anak kepada rockers terkenal Amy Search itu memberitahu akan menampilkan bekas vokalis kumpulan popular Nidji iaitu Giring untuk memeriahkan konsert D’Masiv pada malam kedua.

Bukan itu sahaja, pihak Neptunes Presents turut membawa Is Pusakata dari kumpulan Parade Hujan yang lebih dikenali dengan nama Payung Teduh bersama-sama ke konsert berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pertemuan di Jakarta buka peluang Nabila Huda bawa D’Masiv ke KL, konsert pertama sempena ulang tahun ke-20

ARTIKEL BERKAITAN: Padah pemandu mengantuk, D’Masiv terlibat kemalangan... Rian tetap naik pentas buat ‘show’ dengan mata lebam

“Pemilihan Giring dibuat pengurusan D’Masiv, sekali gus untuk sama-sama meraikan sambutan ulang tahun ke-20 kumpulan itu bersama peminat di Malaysia.

“Segala persiapan rapi sudah dibuat D’Masiv membabitkan konsert pada dua malam terbabit. Apa yang pasti, D’Masiv akan mempersembahkan konsert yang akan menjadi kenangan terindah buat peminat di Malaysia.

“Sebanyak 25 rangkaian lagu popular akan dipersembahkan D’Masiv pada konsert dua malam terbabit seperti Pergilah Kasih, Jangan Menyerah, Cinta Ini Membunuhku dan banyak lagi.

“Menariknya, vokalis D’Masiv, Rian Ekky Pradipta akan berduet dengan Giring menerusi satu lagu istimewa buat peminat.

Dmasiv 3

Nabila bawa Is Pusakata dan Giring di konsert D'Masiv.

"Is Pusakata juga mempunyai lagu duet bersama D’Masiv iaitu Ingin Lekas Memelukmu yang menjadi hits di Indonesia dan Malaysia,” katanya lagi.

Mengulas mengenai penjualan tiket, kata Nabila, tiket konsert untuk malam kedua sudah dibuka kepada orang ramai dan kini sudah terjual sebanyak lima puluh peratus.

“Masih ramai keliru kerana berpendapat tiket konsert D’Masiv sudah habis dijual. Orang ramai boleh mendapatkan tiket untuk konsert D’Masiv malam kedua menerusi laman www.myticketempire.com,” ujarnya.

Konsert D’Masiv Road To The World bakal berlangsung di Zepp, Kuala Lumpur pada pukul 8 malam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain