PENYANYI Shiha Zikir mendedahkan lagu terbaharunya berjudul Kalam adalah berdasarkan pengalamannya sendiri yang terguris hati akibat kata-kata dilemparkan oleh seorang rakan artis. Shiha atau Nurshiha Mohd Zikir, 36, berkata, disebabkan perbuatan rakannya itu juga dia pernah berdepan serangan panik kerana benar-benar kecewa dengan tindakan individu berkenaan. "Lirik lagu ini memang ada kena mengena dengan hidup saya. Pernah berlaku tahun lalu saya kena serangan panik hanya disebabkan kata-kata seseorang dalam industri hiburan sehingga buat saya down. "Kata-kata dilontarkan sangat mengguris hati saya kerana ia datang daripada seseorang yang rapat dengan saya. Shiha muncul dengan single terbaharu. "Kalau netizen yang cakap saya tak kisah sangat, mana positif saya ambil dan sebaliknya," katanya kepada mStar. Meskipun ada kena mengena dengan kisah sendiri, Shiha bagaimanapun melihat Kalam sebagai sebuah lagu yang dekat dengan masyarakat apatah lagi dengan kesan media sosial. ARTIKEL BERKAITAN: Shiha Zikir tak terfikir guna pendinding demi lariskan perniagaan nasi ayam, cukup doa kepada Allah ARTIKEL BERKAITAN: Shiha Zikir bersedia jadi isteri tapi belum terdesak untuk kahwin... "Saya ikut saja bila masa sesuai" Menerusi pemerhatiannya, ramai masyarakat mula mengalami tekanan perasaan disebabkan bahan media sosial dan lagu ini mempunyai mesej tersendiri berhubung hal tersebut. "Zaman sekarang kurang lagu berbentuk mesej dan disebabkan itu saya pilih genre fusion dan tradisional tetapi liriknya mempunyai kata-kata tersirat agar kita semua menjaga lisan di media sosial. "Mungkin ramai tak sedar, banyak yang mengalami tekanan perasaan sehingga ada mahu membunuh diri gara-gara dibuli di media sosial. Harapan saya lagu ini dapat menyampaikan mesej kepada pendengar," jelasnya. Kata-kata yang dilontarkan sangat mengguris hati kerana ia datang daripada seseorang yang rapat dengan saya. SHIHA ZIKIR PENYANYI Sementara itu, Shiha juga menyimpan hasrat untuk membawa lagu Kalam ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) tahun depan. Kata Shiha, setiap kali menghasilkan karya baharu, dia memang meletakkan AJL sebagai penanda aras agar lagu yang dikeluarkan berkualiti. "Setiap lagu yang saya lancar, sasaran saya adalah untuk bertanding dalam Anugerah Juara Lagu (AJL). Shiha sasar Kalam ke pentas AJL. “Kalau saya nak bincang dengan komposer, memang saya akan beri AJL sebagai benchmark lagu tersebut,” jelasnya. Dalam perkembangan lain, Shiha juga berkongsi rasa teruja apabila dipilih sebagai hos bersama pelakon Izzue Islam dalam program ICan See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) musim keenam. Menurut penyanyi itu, dia menghargai segala tawaran yang diterima dan tidak menganggap ia sebagai satu rezeki buatnya. Shiha hos bersama Izzue dalam ICSYVMY. "Bila orang offer saya untuk pengacaraan, saya sangat menghargainya tambah pula program ini antara rancangan yang besar. "Bila diberi kepercayaan, saya rasa kalau menolak rezeki, mungkin ia tidak akan datang lagi. Jadi, saya ambil tawaran ini sekali gus ingin mencabar kebolehan diri,” katanya. Menampilkan Jihan, Khir Rahman, Ropie dan Baby Shima sebagai panel penyiasat tetap, ICSYBMY bakal bersiaran bermula 4 Jun ini, setiap hari Ahad pada pukul 9 malam di saluran TV3. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!