suria

Berhenti jalani fisioterapi, bahagian belakang Zamani kembali sakit

Zamani berkongsi keadaan terkininya.

SELEPAS hampir enam bulan menjalani pembedahan tulang belakang akibat penyakit scoliosis, penyanyi Zamani masih lagi merasa kesakitan akibat kesalahan sendiri yang gagal menjalani rawatan fisioterapi ditetapkan.

Zamani atau Zamani Ibrahim, 53, berkata, jadual kerja yang sibuk menyebabkan dia terpaksa melangkau rawatan dan mengakui mula merasai kesannya apabila bahagian belakang badan mula terasa sakit.

"Tahap kesihatan saya sebenarnya ada penurunan sedikit kerana saya tidak lagi pergi menjalani fisioterapi disebabkan kesibukan bekerja.

zz

Kesibukan kerja membuatkan Zamani terlepas jalani rawatan.

"Apa yang saya lihat, jika tidak melakukan fisioterapi memang ada sedikit kesan iaitu bahagian belakang saya mula terasa sakit.

"Rawatan ini sebenarnya saya harus lakukan sehinggalah saya pulih sepenuhnya. Tapi saya hanya buat sebulan setengah dan kemudian berhenti," katanya kepada pemberita.

Zamani berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Konsert Kasih Pengasih 2023 yang diadakan di Rumah Pengasih, Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Badan tak lagi melengkung, Zamani buat persembahan pertama selepas pembedahan... Aznil Nawawi pula menitis air mata

ARTIKEL BERKAITAN: Sudah boleh berdiri tanpa bantuan, kesihatan Zamani kembali normal 3 bulan selepas pembedahan tulang belakang

Dalam pada itu, Zamani berkongsi doktor memberitahu keadaannya kini semakin baik dan bakal menerima rawatan susulan dua minggu lagi.

Menurut pandangan doktor, struktur bongkok yang dialaminya dulu tidak mempunyai potensi untuk berlaku lagi melainkan dia tidak menjaga kesihatan dengan baik.

"Mula-mula saya kena buat fisioterapi seminggu dua kali. Kemudian dah sampai tahap dua minggu sekali yang saya skip tu.

Tahap kesihatan saya sebenarnya ada penurunan sedikit kerana saya tidak lagi pergi menjalani fisioterapi disebabkan kesibukan bekerja.

ZAMANI

PENYANYI

"Doktor kata progress saya okay, jadi saya pun yakinlah. Cuma lepas saya skip fisioterapi punca sakit tu datang kembali.

"Doktor kata kemungkinan untuk bongkok semula itu tidak besar sebab kalau bedah masalah cakera (disc) boleh kena balik tapi macam saya punya ini susah sikit untuk jadi semula macam dulu kecuali kalau tidak dijaga dengan betul," ujarnya.

Penyanyi lagu Gerimis Mengundang itu bagaimanapun memberitahu dana kutipan bantuan yang diperolehnya sebelum ini masih lagi berbaki separuh dan hanya menggunakan wang tersebut bagi tujuan perubatan.

Zamani turut berkongsi keadaan terkini dirinya yang masih tidak mampu untuk duduk bersila di atas lantai dan selain daripada itu, dia tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.

"Dana bantuan masih ada separuh lagi. Saya memang tidak usik wang itu untuk kegunaan sendiri. Amanah orang kan. Saya hanya guna untuk urusan perubatan.

zamani222 - 1

Zamani masih perlu jalani rawatan susulan.

"Sampai hari ini saya masih belum boleh duduk di atas lantai atau bersila. Duduk antara dua sujud untuk solat pun tidak boleh.

"Kalau solat, saya memang memerlukan kerusi tetapi yang lain memang tiada masalah. Hanya duduk di atas lantai lagi masih belum boleh," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Zamani bakal tampil dalam persembahan Konsert Kasih Pengasih 2023 yang akan diadakan di Auditorium RTM Kuantan pada 1 Julai depan.

Menurut penyanyi itu, dia menerima tawaran melakukan persembahan kerana ingin membantu mengumpul dana bagi rumah pengasih tersebut.

"Saya terima tawaran ini kerana ingin membantu rumah pengasih untuk mengumpul dana. Saya pernah berada di sini dan saya tahu ia bukan perkara yang mudah," ujarnya.

Mengimbau saat mula-mula ditempatkan di Rumah Pengasih pada sekitar 2015, Zamani mengakui pada awalnya dia berasa kekok untuk menyesuaikan diri.

Namun penyanyi berkenaan menganggap pelajaran terbesar dalam hidup yang diterima sewaktu masuk ke rumah pengasih adalah dapat membentuk sahsiah diri agar menjadi individu lebih baik.

"Pada mulanya memang saya tidak rela berada di sini (rumah pengasih). Kita dah biasa jadi artis, tidur siang, malam tak tidur. Saya memerlukan empat bulan untuk sesuaikan diri.

zamani1 - 1

Konsert Kasih Pengasih diadakan bagi tujuan kutipan dana.

"Selama lapan bulan di rumah pengasih, pengajaran terbesar yang saya dapat adalah tentang disiplin harian.

"Kadang kita tengok benda simple saja. Tapi saya diajar tentang adab seperti minum tidak boleh berdiri. Duduk tidak boleh silang kaki. Perkara-perkara macam itulah yang saya rasa membentuk sahsiah diri," katanya.

Selain Zamani, Konsert Kasih Pengasih 2023 turut menggandingkan barisan penyanyi terkenal termasuk Ameng Spring, Amir Ukay’s dan kumpulan Iklim.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain