suria

Juh bertandak! Rainforest World Music Festival kembali... Big Mountain, Zee Avi antara lebih 20 kumpulan pemuzik buat persembahan

Ikuti rentak reggae yang mengasyikkan dari Big Mountain di RWMF 2023, yang terkenal dengan lagu hit mereka 'Baby I Love Your Way'.

SEPERTI penganjuran tahun-tahun sebelumnya, Rainforest World Music Festival (RWMF) menjadi acara paling ditunggu-tunggu peminat muzik.

Mengangkat tema Reflections, edisi RWMF 2023 bakal membariskan lebih 20 kumpulan pemuzik hebat dari 12 negara dengan pelbagai genre sepanjang tiga hari penganjurannya pada 23 hingga 25 Jun ini.

RWMF bakal berlangsung di Sarawak Cultural Village.

Antara yang pasti menjadi perhatian adalah penampilan kumpulan Big Mountain, yang cukup popular dengan lagu berentak reggae iaitu Caribbean Blue dan Baby I Love Your Way yang pernah menduduki tangga keenam carta Billboard Hot 100 di Amerika Syarikat.

ZEE AVI

Penyanyi dan penulis lagu peringkat antarabangsa, Zee Avi bakal membuat persembahan.

Bukan sekadar itu, pemenang Anugerah Grammy, Gipsy Kings yang popular dengan lagu seperti Bamboleo dan Djobi Djoba turut memeriahkan pentas RWMF.

Nama kumpulan asal Perancis ini sememangnya tidak asing lagi kerana mereka sudah cukup dikenali dan menampilkan pemain gitarnya iaitu Tonino Baliardo sering menjadi idola pemuzik baharu.

Antara penyanyi dan pemuzik lain yang bakal menghiburkan penonton pada acara itu nanti adalah Safi Theatre dari Tanzania, Rastak (Iran), Afriquoi (United Kingdom), Fasylive (Maldives), Rizal Hadi & Folk (Indonesia), Ethno Thai Fusion Sound Band (Thailand), Kumi Masunaga (Jepun) dan Syed Ibrahim (Singapura).

Festival tahun ini juga bakal menjanjikan persembahan daripada kumpulan Chatusram dari India dengan muzik menggunakan dram yang akan menghangatkan suasana pada acara itu nanti.

GIPSY KINGS FEATURING TONINO BALIARDO

Pemenang Anugerah Grammy, Gipsy Kings menampilkan Tonino Baliardo.

Dalam pada itu, acara tahunan ini tidak lengkap tanpa kemunculan pemuzik Malaysia yang akan menghangatkan pentas RWMF.

Ia bakal menyaksikan penampilan penyanyi yang mencipta nama di Amerika Syarikat iaitu Zee Avi, yang juga anak jati Sarawak.

Tidak hanya itu, At Adau, Sada Borneo, Tuku Kame, Meruked, Nading Rhapsody, Suk Binie dan Buluh Bekocak yang tidak asing dalam kalangan peminat muzik tempatan akan tampil dengan susunan muzik tradisional masyarakat di sana dengan sentuhan kontemporari.

Mereka ini bukanlah nama asing dalam mempromosikan muzik tradisional sekaligus mengangkat martabat budaya tempatan ke peringkat luar.

Nading Rhapsody cukup terkenal dengan adaptasi nyanyian ritual yang tersendiri, lagu-lagu lama yang membuaikan, lagu tradisional kedaerahan, mitos, dan kisah pelbagai masyarakat etnik di Sarawak.

AT ADAU IN ACTION

Alami sendiri ‘At Adau’ persembahan dari Sarawak yang menggabungkan muzik moden dan tradisional.

Manakala Suk Binie dengan persembahan muzik yang memberi penekanan untuk memperkenalkan semula warisan budaya Bidayuh dan Buluh Bekocak dengan tujuan mempromosi muzik berasaskan buluh, menggabungkan dan mempertingkatkan kedua-dua lagu tradisional dan popular melalui penggunaan alat muzik buluh.

Antara lain yang turut membuat persembahan adalah Steve Thornton dan Afroasia, Orang Orang Drum Theatre, Aseana Percussion Unit, Nadir, Geng Wak Long dan Shameer.

RWMF kali ini turut menampilakn Edwin Nathaniel dan kumpulannya Aseana Percussion Unit yang merupakan ensembel alat muzik perkusi tempatan golongan etnik di Malaysia bagi mencipta bunyi-bunyian unik.

Geng Wak Long bakal beraksi dengan muzik orkestra tradisional Kelantan yang bakal menampilkan unsur tradisi dan kebudayaan negeri di Pantai Timur.

Shameer pula yang mengetuai kumpulan 4 pemuzik I Dream Drum Circle pasti memukau pengunjung dengan koleksi gabungan bunyi-bunyian koleksi alat muzik perkusi dengan gendang, pelbagai bentuk dan saiz.

RWMF CROWD

Raikan kepelbagaian budaya dan muzik tahun ini, dengan barisan penghibur bertaraf dunia.

Bermula hanya kira-kira 300 penonton pada konsertnya yang pertama, RWMF edisi ke 26 ini melalui pelbagai perubahan sepanjang penganjurannya.

Malah, ia kini menjadi acara wajib dalam kalendar pelancongan Sarawak dan berjaya menarik perhatian penggembara muzik dari serata dunia.

Tahun lalu, RWMF turut diadakan secara hibrid berikutan pandemik Covid-19.

Tiket bagi menyaksikan festival muzik ini boleh didapati secara dalam talian di www.rwmf.net.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain