suria

CEO Finas dipecat belum terima jawapan menteri, pertimbang ambil tindakan

Md Nasir masih menanti jawapan balas dari surat pertanyaan kepada YB Fahmi.

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) iaitu Prof Dr Md Nasir Ibrahim masih lagi menanti jawapan daripada surat pertanyaan yang dikemukakan kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pada Khamis.

Md Nasir, 63, berkata surat terbuka yang dihantar itu bertujuan untuk mendapatkan jawapan kepada beberapa persoalan berhubung pemecatannya daripada agensi berkenaan.

Ini kerana dia menerima pelbagai kenyataan bercanggah dan mengelirukan berhubung isu berkenaan.

Md Nasir cuma mahukan penjelasan.

"Setakat ini belum lagi... saya perlukan maklum balas daripada menteri kerana soalan-soalan itu penting buat saya kerana saya masih tiada jawapan mengapa penamatan itu berlaku.

"Saya juga menerima percanggahan kenyataan yang mana pengerusi kata itu arahan menteri... menteri pula kata keputusan barisan jawatankuasa.

"Saya pun tidak tahu mana yang betul mana yang salah... itu yang saya nak tahu!" katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Kontrak CEO Finas ditamatkan 24 jam, Md Nasir anggap dizalimi... Dakwa wujud unsur kroni

ARTIKEL BERKAITAN: “Sebelum hentam datang bersemuka dulu!” Md Nasir tegur pihak sering kritik Finas

Dalam pada itu, Md Nasir memaklumkan surat dihantar itu juga bertujuan untuk membersihkan nama selepas pelbagai tohmahan dan tuduhan diterima sehingga menjejaskan reputasinya.

Malah, sepanjang menerajui Finas dia telah membawa banyak pencapaian.

"Saya sebenarnya nak bersihkan nama sahaja kerana tidak mahu orang ada tanggapan salah kepada saya terutamanya apabila ada pihak kata saya ditamatkan dalam tempoh 24 jam kerana sakau (curi) duit Finas.

Perasaan saya ketika ini bercampur baur sebab tak sangka.

PROF MD NASIR IBRAHIM

BEKAS KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF FINAS

"Ada juga kata saya tidak melakukan tugas dengan baik dan macam-macam, sedangkan perkara ini bergerak dengan satu hala tuju jelas bersama perancangan yang dilakukan selama beberapa bulan.

"Pencapaian pun sudah ada, selaku CEO Finas saya bukannya tak buat apa-apa," katanya lagi.

Md Nasir turut mempersoalkan sama ada penamatannya itu mengikut undang-undang memandangkan tidak mencukupi ahli jawatankuasa dalam membuat keputusan.

"Saya tertanya adakah penamatan ini dianggap teratur dan mengikut perundangan sekiranya komposisi keanggotaan ahli perbadanan tidak mencukupi seperti yang termaktub di bawah seksyen 4(1) Akta 244.

"Adakah wakil-wakil pegawai kerajaan yang ada di dalam ahli perbadanan memandu dan menasihati kepada pematuhan tatakelola yang teratur?," soalnya.

Masih terkesan menerima berita pemecatan secara tiba-tiba, Nasir berkata dia tidak tergak-agak untuk mengambil tindakan lanjut.

Md nasir 4

Md Nasir tidak teragak-agak nak ambil tindakan.

Malah, dia sudah perbincangan dengan peguamnya berhubung perkara ini.

"Perasaan saya ketika ini bercampur baur sebab tak sangka, tiada khabar ataupun siasatan dilakukan daripada jawatankuasa Finas serta menteri sendiri.

"Sekarang ini saya sedang berbincang dengan pihak peguam saya. Kami akan melihat daripada pelbagai aspek... salah satu aspek mengenai kuasa menteri memecat dalam tempoh 24 jam tanpa memberikan sebarang alasan.

"Bagi saya pemecatan itu sah, dari segi akta Finas memang ada. Cumanya mengikut kontrak lantikan pada 31 Oktober tapi disingkatkan kepada 1 Jun," ujarnya.

Pada 31 Mei lalu, Nasir menerima notis penamatan tugas secara mengejut dan ia berkuat kuasa bermula 1 Jun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain