PENCERAIAN pelakon Puteri Sarah Liyana dan pengarah Syamsul Yusof tetap mengundang rasa sebak dalam kalangan peminat meskipun menganggap perpisahan adalah jalan terbaik. Ia susulan pasangan itu berdepan pelbagai cemuhan dan kontroversi selama enam bulan proses penceraian berlangsung sebelum Syamsul, 39, akhirnya setuju menceraikan Puteri Sarah secara baik di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Antara yang paling terkesan dengan penceraian itu adalah bekas ibu bapa mentuanya iaitu Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail yang bersedih dengan berita tersebut dan masih berharap Syamsul dan Puteri Sarah kembali berbaik. Puteri Sarah atau Puteri Sarah Liyana Megat Kamarudin, 38, berkata, sebagai menantu dia memahami perasaan ibu bapa mentuanya dan berjanji akan menjaga silaturahim dengan mereka meskipun sudah tiada ikatan dengan Syamsul. Perbualan Sarah dan Patimah undang sebak. "Sarah tahu mama dan papa sedih, apa pun terjadi mama dan papa tetap ibu bapa buat Sarah. Tidak akan berubah. Sarah sayang anda berdua sampai akhir," katanya. Aktres itu berkongsi perasaannya itu menerusi Instastory pada pagi Khamis yang memaparkan tangkap layar perbualan dengan Patimah. Menerusi perbualan tersebut, Puteri Sarah meminta izin untuk pergi ke sebuah tempat bagi urusan kerja dan memaklumkan akan menginap di rumah mereka. ARTIKEL BERKAITAN: Yusof Haslam baru tahu Syamsul, Puteri Sarah cerai... Masih letak harapan bersatu semula ARTIKEL BERKAITAN: [V] Syamsul, Puteri Sarah cerai talak satu Perbualan itu disambut baik Patimah dan memberitahu hubungan mereka akan terus kekal baik walaupun dia sudah berpisah dengan anaknya. "Jangan cakap macam itu, Papa kata tak ada apa yang berubah antara Sarah dengan keluarga mama. Kami tetap sama seperti dulu," kata Patimah dalam mesej berkenaan. Pada Rabu, Syamsul melafazakan talak di hadapan Hakim Syarie Akmalluddin Ilyas secara tertutup kira-kira pukul 12.25 tengah hari. Sarah dan Syamsul sah bercerai talak satu pada Rabu. Susulan itu, mahkamah memerintahkan Puteri Sarah menjalani tempoh edah selama tiga bulan dan mendaftarkan penceraian mereka. Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah, 38, mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6 dan Sumayyah, 5 tahun. Kemelut rumah tangga pasangan itu berlarutan selepas Syamsul enggan melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah pada 18 April lalu selepas akters berkenaan memfailkan permohonan bercerai secara baik pada pertengahan Januari 2023. Tindakan itu dibuat selepas Syamsul mendedahkan dia sudah mendirikan rumah tangga dengan aktres Ira Kazar di Thailand berwakil walikan bapanya, Kazar Saisi pada 6 Januari 2023. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!