suria

Niat buka ‘buku pink’ ada hikmah, Min Yasmin masuk hospital akibat tekanan darah tinggi - “Kalau biar mungkin kena sawan”

Min bimbang sebarang masalah kesihatan boleh menjejaskan kehamilan.

PENYANYI Min Yasmin terpaksa ditahan di wad Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Kota Kinabalu, Sabah selama tiga hari susulan mengalami masalah tekanan darah tinggi.

Min atau Nurul Yasmin Abdul Aziz, 35, berkata, dia dikejarkan ke hospital berkenaan ketika melakukan pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik kesihatan kerajaan di Kota Kinabalu untuk membuka buku pink bagi ibu mengandung.

Bagaimanapun, doktor kemudiannya mengarahkan dia dikejarkan ke hospital dengan menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut kerana tidak mahu merisikokan kandungannya yang memasuki usia lima bulan termasuk berisiko terkena serangan sawan.

min yasmin 2

Min berkongsi berita gembira kini hamil lima bulan.

"Pada awalnya saya ke klinik kesihatan sebab nak buka buku rekod kehamilan atau buku pink dan apabila doktor memeriksa tekanan darah dia mendapati bacaannya tinggi.

"Disebabkan itu pihak klinik berkenaan terus memanggil ambulans untuk bawa saya ke hospital... merasalah pertama kali naik ambulans.

"Doktor nasihatkan saya menerima rawatan di hospital kerana tidak mahu memberi risiko kepada bayi dalam kandungan dan kalau dibiarkan saya mungkin boleh terkena serangan sawan," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Min Yasmin tak pernah beli kit ujian hamil, syukur akhirnya mengandung anak pertama selepas 10 tahun kahwin

ARTIKEL BERKAITAN: Peminat sanggup hantar jet peribadi mahu Min Yasmin buat persembahan di Filipina

Berkongsi keadaan terkini, Min memberitahu dia sudah dibenarkan pulang ke rumah sejak petang Rabu dan dinasihatkan untuk tidak melakukan kerja berat selain perlu banyak berehat.

Disebabkan itu, dia sudah membatalkan beberapa komitmen sepanjang tempoh kehamilan kerana tidak mahu memberi kesan buruk kepada kandungannya.

"Ini adalah anak pertama saya selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga. Jadi mestilah saya risau jika ada apa-apa perkara buruk berlaku.

Doakan semoga kesihatan saya dan bayi dalam kandungan ini selamat

MIN YASMIN

PENYANYI

"Saya pun sudah tangguhkan semua tawaran kerja buat masa sekarang. Tunggulah sehingga selesai bersalin nanti baru fikir kerja. Doakan semoga kesihatan saya dan bayi dalam kandungan ini selamat," ujarnya.

Teruja bakal bergelar ibu, Min juga mahu merasai semua proses yang biasanya dilalui oleh kebanyakaan ibu mengandung termasuk melakukan pemeriksaan di hospital kerajaan.

"Soal nak bersalin nanti tak tahu lagi di mana tetapi buat masa sekarang saya mahu lalui proses macam yang biasa wanita hamil buat. Sebab itu saya mulakan dengan mahu membuka buku pink di klinik kesihatan.

min yasmin 3

Min tangguh semua kerjaya seni.

"Saya nak rasa pengalaman itu semua. Memanglah teruja selepas sekian lama menanti, ini adalah rezeki yang amat bermakna buat saya," ujarnya.

Untuk rekod, Min mendirikan rumah tangga dengan komposer Julfekar pada April 2014.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain