suria

Paru-paru dan jantung lemah, Mat London ditidurkan

Mat London dikhabarkan sedang kritikal.

PRESIDEN Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Ahmad Ibrahim atau Mat London dalam keadaan tenat selepas dia dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak 16 Jun lalu akibat jangkitan paru-paru.

Ahli FDAM Salim Saifuddin berkata, Mat London, 74, kini terpaksa ditidurkan dan ditempat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan berikutan keadaan paru-paru dan jantungnya dalam keadaan lemah.

"Mat London dalam keadaan tenat sekarang ini, pernafasan dan jantung dia sangat lemah... ketika ini dia ditidurkan memandangkan dia sukar bernafas disebabkan masalah paru-paru berair.

Mat 1

Mat London sedang terima rawatan di HKL.

"Dia ditidurkan dengan alat bantuan pernafasan bagi membolehkan dia berehat dan sebagai salah satu langkah pemulihan untuknya," katanya kepada mStar.

Bercakap lanjut mengenai keadaan Mat London, Salim memberitahu pada Selasa penerbit dan pengarah itu masih dalam keadaan separuh sedar sebelum dipindahkan ke ICU daripada wad pengasingan susulan keadaannya semakin merosot.

Dalam pada itu, Salim memberitahu dia sempat menghubungi Mat London beberapa hari lalu malah sempat menasihatinya mengikut semua arahan doktor agar dia kembali sihat.

ARTIKEL BERKAITAN: A. Aida, Zed Zaidi dan Mat London antara ahli lembaga Finas ditamatkan perkhidmatan

ARTIKEL BERKAITAN: Pemilihan pelakon oleh stesen TV antara punca kerja lebih masa... Mat London kata perlu ada budi bicara sebelum ‘lenjan’ artis

Bagaimanapun kata Salim, dia tidak berkesempatan menziarahinya di wad kerana pihak hospital tidak membenarkan pelawat untuk sementara waktu.

"Dua bulan lepas saya ada jumpa dia, masa itu dia masih sihat lagi. Tapi sepanjang dia di hospital, saya ada bertanya khabar cuma tidak berkesempatan menziarahinya.

"Saya ada pesan supaya dia dengar apa kata doktor untuk kembali sihat. Apa-apa pun kita doakan yang terbaik untuk Mat London," katanya.

Sementara itu, menantunya iaitu Muhamad Daniel Ahmad memaklumkan kepada mStar Mat London dimasukkan ke HKL sejak 12 Jun lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Kata Daniel ketika itu keadaan bapa mentuanya dalam keadaan baik namun terpaksa dipindahkan ke ICU beberapa hari kemudian selepas keadaannya kritikal dan tidak sedarkan diri.

Keadaan dia sekarang kritikal yang mana dia tidak sedarkan diri selain jantung dan paru-parunya sangat lemah.

"Dia pula mempunyai sejarah penyakit jantung dan ketika ini dia sedang melawan jangkitan yang ada selain fungsi buah pinggangnya juga semakin merosot.

"Saya minta pertolongan semua untuk doakan dia supaya sembuh seperti sedia kala dan memudahkan semua urusannya," ujarnya.

Sebelum ini, khabar mengenai keadaan Mat London dimasukkan ke hospital turut dikongsikan ahli FDAM dalam media sosial.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain