suria

Pertama kali tercalon top 5, persatuan ibu mengandung dan penduduk Sabah ‘all out’ kempen demi Bell Ngasri

Watak Bakobar buat Bell menjadi sebutan dalam kalangan peminat.

PELAKON dan pelawak Bell Ngasri meluahkan rasa terharu apabila pencalonan pertama kali dalam top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH35) mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk rakan seperjuangan dalam industri seni.

Bell atau Nasrizal Ngasri, 43, berkata, dia langsung tidak menyangka ramai dalam kalangan peminat dan selebriti sanggup meluangkan masa membuat hebahan agar orang ramai mengundinya sebagai pemenang kategori Artis Komedi Popular.

"Saya tak sangka dapat sokongan sebegini rupa, dari negeri yang bukan asal saya pun ada, kawan-kawan artis yang lebih hebat dan popular pun turut serta.

"Persatuan itu, persatuan ini. Ada yang tak pernah undi pun pakat mengundi... macam-macamlah," katanya.

Bell 2

Persatuan ibu mengandung dan penduduk Sabah gigih berkempen untuk Bell di Facebook.

Bell berkongsi rasa terharu itu menerusi Instagram miliknya yang turut memaparkan tangkap layar beberapa individu dan persatuan membuat hantaran di media sosial agar mengundinya.

Menerusi perkongsian itu, rakan-rakan selebriti seperti Atu Zero dan Jihan Muse termasuk penduduk di Sabah turut mengajak orang ramai mengundi Bell.

Turut menarik perhatian Bell apabila persatuan ibu mengandung di Facebook turut tidak melepaskan peluang berkempen dan meminta ahli mengundinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bell Ngasri sangka pelakon senior Mubarak Majid terdesak nak pinjam duit, ‘transfer’ RM1,000 - “Baru sedar, saya dah kena kencing!”

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 30 tahun dalam industri... Bell Ngasri baru jadi pilihan pertama pengarah - “Saya tak kisah terima sahaja selagi orang suka!”

Terharu dengan sokongan itu, Bell sempat berseloroh tidak dapat membayangkan wanita hamil sibuk mengundinya walaupun sedang menahan sakit untuk bersalin.

"Terima kasih sangat, top 5 ini pun saya dah bersyukur sangat. Saya tetap sama saja, sama macam orang lain tapi yang tak tahan persatuan ibu mengandung pun ada.

"Terus saya terbayang masa ibu-ibu mengandung itu dalam perjalanan nak beranak pun masih mengundi. Lepas itu anak baru lahir pun mengundi juga," luahnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut berpendapat pelawak berkenaan sepatutnya berjaya meriah trofi bagi Anugerah Artis Komedi Popular.

Bell 4

Bell sudah berlakon sejak kecil.

Malah ada juga mengimbau kenangan membesar dengan karya-karya dari Bell yang mula aktif berlakon sejak awal 1990-an.

"Persatuan ibu mengandung pun sokong Bell, aku percaya dia akan menang. Saya membesar dengan lawak abang Bell penuh memori dan nostalgia. Semoga abang Bell berjaya.

"Letih aku dok mengundi Bell, harapnya kau berjaya," antara komen netizen.

Selain Bell antara turut bersaing dalam kategori Artis Komedi Popular adalah Johan, Jaa Suzuran, Syami Sazli dan Zizan Razak.

ABPBH35 bakal berlangsung pada 21 Julai ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain